Dunia bangkit kutuk Zionis bunuh As-Syahid Yahya Sinwar



Dunia bangkit kutuk Zionis bunuh As-Syahid Yahya Sinwar
October 20, 2024

Share
As-Syahid Yahya Sinwar

KUALA LUMPUR: Syahidnya pemimpin HAMAS, Yahya Al-Sinwar baru-baru ini adalah satu lagi pengorbanan dalam perjuangan membebaskan Palestin dari kekejaman rejim Zionis.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, DUPP mengutuk pembunuhan itu dan menyatakan bahawa perjuangan tidak akan terhenti, malah semakin kukuh.

Beliau memetik firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 169 yang menjelaskan bahawa orang yang gugur syahid di jalan Allah tidak mati, sebaliknya mereka hidup secara istimewa di sisi Tuhan mereka, dan mereka mendapat rezeki dan ganjaran daripada Allah atas pengorbanan mereka.

“Selang dua bulan setengah syahidnya (pemimpin HAMAS) Syeikh Ismail Haniyeh di tangan rejim Israel, dunia Islam digemparkan dengan kesyahidan Yahya Al-Sinwar dah telah disahkan oleh pihak HAMAS hari ini setelah 2 hari desas desus belegar di media sosial,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

DUPP katanya, konsisten mengutuk sekerasnya-kerasnya pembunuhan yang telah dilakukan dengan kejam, terutama Israel yang menjadi dalang kepada jenayah perang ke atas bumi Palestin.

Jelas beliau, dunia pastinya berduka dan kutukan dunia pastinya tertumpu pada rejim Israel.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, syahidnya Yahya pasti tidak akan menghentikan perjuangan pembebasan Palestin, dan sunnahnya akan terus ramai lagi pejuang yang bangkit melawan kekejaman Zionis Israel.

“As-Syahid Yahya Al-Sinwar lambang pejuang sejati, pakaiannya adalah keberanian dan pulangnya bertemu Allah Azzawajalla dengan penuh keizzahan.

“DUPP merakamkan ucapan takziah bukan sahaja kepada keluarga Al-Syahid dan HAMAS tetapi kepada seluruh umat Islam yang cintakan pembebasan bumi Palestin daripada cengkaman Yahudi laknatullah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

Ulasan