Dunia berarak, kecam kekejaman berterusan Israel di Gaza
Oleh Wartawan Luar Negara
6 Oktober 2024, 10:00 am
LONDON: Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalan raya di bandar-bandar utama di seluruh dunia, menuntut pertumpahan darah di Gaza dan Asia Barat dihentikan segera menjelang ulang tahun pertama pencerobohan Israel di Gaza.
Kira-kira 40,000 penunjuk perasaan pro-Palestin berarak melalui pusat London manakala ribuan juga berkumpul di Paris, Rom, Manila, Cape Town dan New York City.
Demonstrasi juga diadakan berhampiran White House di Washington, membantah sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap sekutunya Israel dalam kempen ketenteraan di Gaza dan Lubnan.
Penunjuk perasaan di Times Square di New York City memakai selendang keffiyeh hitam-putih dan melaungkan slogan seperti ‘Gaza, Lubnan anda akan bangkit, dunia berada di sisi anda’.
Mereka turut memegang sepanduk menuntut sekatan senjata terhadap Israel.
Pertumpahan darah terbaharu dalam konflik Israel-Palestin yang sudah berdekad lamanya tercetus apabila kumpulan pejuang Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Okobert 2023, mengorbankan1,200 orang dan menjadikan kira-kira 250 lagi sebagai tebusan.
Namun perang genosid Israel ke atas Gaza sudah membunuh hampir 42,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan Gaza.
Kekejaman melampau Israel juga telah memindahkan hampir kesemua 2.3 juta penduduk di kawasan itu, menyebabkan krisis kelaparan dan membawa kepada dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Dunia yang dinafikan Israel.
“Malangnya, di sebalik semua niat baik kami, kerajaan Israel tidak mengambil apa-apa notis, dan mereka hanya meneruskan dan enggan menghentikan kekejaman mereka di Gaza, kini juga di Lubnan dan di Yaman, dan juga mungkin di Iran.
“Dan kerajaan Britain kita malangnya, hanya bercakap mulut dan terus membekalkan senjata kepada Israel,” kata penunjuk perasaan, Agnes Kory di London.
Di London, penunjuk perasaan balas mengibarkan bendera Israel ketika perarakan pro-Palestin melintasi mereka.
Terdapat 15 tangkapan di luar protes namun polis tidak menyatakan sama ada mereka yang ditahan adalah daripada mana-mana kumpulan.
Di Rom, polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air selepas pertempuran berlaku.
Kira-kira 6,000 penunjuk perasaan mengingkari larangan berarak di pusat bandar menjelang ulang tahun serangan Hamas pada 7 Oktober.
Di Berlin, protes menarik kira-kira 1,000 penunjuk perasaan dengan bendera Palestin, yang melaungkan ‘Satu Tahun Genosid’.
Penunjuk perasaan Jerman juga mengkritik apa yang mereka panggil keganasan polis terhadap penunjuk perasaan pro-Palestin.
Penyokong Israel di Berlin membantah peningkatan antisemitisme dan pergelutan turut dilaporkan berlaku antara polis dan penunjuk perasaan pro-Palestin.-AFP
Ulasan
Catat Ulasan