Fun Run Fun Ride PASTI sambutan luar jangkaan
October 9, 2024
AYER KEROH: ‘Fun Run & Fun Ride 2024’ Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Melaka mendapat sambutan luar jangkaan bukan sahaja dari penyertaan murid-murid, tetapi juga dari segi kehadiran ibu bapa.
Pengarah Jabatan PASTI Negeri Melaka, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin berkata, perkara itu menunjukkan bahawa acara tahunan itu semakin mendapat perhatian daripada para ibu bapa.
“Tahun lepas penyertaan tak seramai macam ni. Untuk tahun ini, penyertaan murid-murid pun mencapai 1,538 orang berdaftar. Itu tidak termasuk yang menyertai saat akhir secara ‘walk-in’. Kita belum dapat kumpul maklumat lagi yang terkini.
“Selain murid-murid, dianggarkan ibu bapa pun dekat hampir 500 orang yang hadir pada hari ini. Keseluruhan dianggarkan oleh PASTI Negeri Melaka lebih kurang 2,000 orang kehadiran keseluruhan,” katanya.
Jelas beliau, walaupun hari ini adalah hari bekerja bagi Negeri Melaka, namun ibu bapa tetap hadir dengan ada yang mengambil cuti tahunan untuk sama-sama terlibat dalam program melibatkan dua acara iaitu berbasikal dan larian secara santai.
“Cuma hari ini pelaksanaan tu agak meriah, jadi kita nampak macam ada kelam-kabut sikit, sebab kita tak sangka penyertaan ibu bapa yang nak bersama dengan program ni.
“Yang lepas-lepas ni pelajar yang teruja, ibu bapa setakat tengok dan menyokong dari tepi sahaja. Tetapi kali ini alhamdulillah kita nampak ibu bapa banyak memberikan sokongan, malah berlari bersama-sama di dalam Taman Botanikal Ayer Keroh ni,” katanya.
Jelas Ustaz Faizal, tujuan sebenar program tersebut dijalankan adalah berkait rapat dengan penyertaan anak-anak PASTI dalam Kurikulum 5C dalam Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM) meliputi Celik Al Quran; Celik Sahsiah; Celik Minda; Celik Cerdas dan Celik Membaca.
“Fun Run Fun Ride ini terletak di bawah Celik Cerdas. Jadi anak-anak yang menyertai ni daripada peringkat lima dan enam tahun daripada PASTI Melaka ini yang akan mendapat sijil ni untuk penyertaan daripada Peperiksaan Celik 5C.
“Sebab peperiksaannya nanti mereka akan dapat anugerahnya di majlis Anugerah Prestasi PASTI Kawasan dan juga PASTI Negeri,” ujarnya kepada Harakahdaily usai program tersebut yang berlangsung di Taman Botanikal, di sini pagi tadi.
Tambahnya, untuk penganjuran pada tahun-tahun seterusnya beliau merancang untuk menyediakan juga sijil dan cenderahati kepada ibu bapa yang hadir dan turut sama menyertai acara dijalankan.
“Saya nampak ibu bapa kali ini sangat bersemangat dalam program ini. Bukan anak-anak saja, tapi ibu bapa yang bersama dengan kita pada hari ini ikut serta berlari dengan anak-anak mereka,” katanya.
Selain itu, kata Ustaz Faizal, pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk mendapatkan lokasi lebih luas memandangkan sambutan yang semakin meningkat setiap tahun.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya yang membenarkan pihaknya menggunakan Taman Botanikal itu untuk program tersebut.
Selain Ustaz Zulhilmi, pimpinan DPPNM yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Al Hafiz Yahya dan Naib Ketua, Ustaz Mohd Khanapiah Nor. – HARAKAHDAILY 9/10/2024
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan