Israel lancar serangan berhampiran hospital di Beirut


Israel lancar serangan berhampiran hospital di Beirut
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
22 Oktober 2024, 9:30 am


BEIRUT: Sebuah serangan berlaku berhampiran Hospital Universiti Rafik Hariri di Beirut lewat Isnin, menurut sumber hospital kepada Reuters, yang mengatakan serangan itu mengenai tempat letak kereta hospital berkenaan.

Sebelum ini, Tentera Israel berkata, pihaknya sedang menggempur bahagian kewangan Hezbollah, memusnahkan lebih daripada 20 sasaran termasuk sebuah bunker yang menyimpan berpuluh-puluh juta dolar dalam bentuk wang tunai dan emas.

Serangan yang bermula sejak Ahad malam lalu, menandakan peluasan kempen Israel terhadap kumpulan yang disokong Iran itu selepas setahun bertukar serangan rentas sempadan, yang memuncak pada akhir September menjadi peperangan penuh.

“Angkatan Udara Israel telah melancarkan siri serangan tepat ke atas kubu-kubu kewangan Hezbollah,” kata jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari, dalam taklimat televisyen.

Pada awal Isnin, Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi berkata, terdapat lebih 20 sasaran milik Al-Qard Al-Hassan, sebuah firma kewangan yang dikaitkan dengan Hezbollah, telah diserang.

“Kami menyerang hampir 30 sasaran di seluruh Lubnan,” kata Halevi selepas serangan ke atas persatuan yang disekat oleh Amerika Syarikat dan dituduh oleh Israel membiayai operasi keganasan Hezbollah.


Pengumuman ini dibuat ketika tentera Israel menyatakan mereka terus menyerang pelbagai kedudukan Hezbollah di seluruh Lubnan, termasuk kira-kira 300 sasaran dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Firma kewangan ini, yang secara rasmi didaftarkan sebagai badan amal, telah menawarkan pinjaman kepada pelanggan sebagai ganti deposit emas tanpa faedah sejak tahun 1980-an.

Amerika Syarikat telah lama menyekat badan amal ini, menuduh Hezbollah menggunakan ia sebagai topeng untuk menyembunyikan aktiviti kewangannya dan mendapatkan akses kepada sistem kewangan antarabangsa.

Israel pada akhir September lalu, memperluaskan fokus operasinya di Lubnan selepas hampir setahun peperangan terhadap sekutu Hezbollah, Hamas, di Semenanjung Gaza. -AGENSI

Ulasan