Israel rancang lagi serang hendap di selatan Lubnan
Oleh Wartawan Luar Negara
5 Oktober 2024, 6:07 am
BEIRUT: Tentera Israel memberi bayangan akan melancarkan serang hendap di darat selepas mengeluarkan arahan pemindahan baharu di selatan Lubnan dan mengarahkan penduduk di 20 bandar selatan negara itu untuk berpindah serta-merta.
Arahan untuk berpindah itu merupakan kali pertama diterima oleh komuniti Lubnan di utara zon penampan yang dicadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk di ibu kota wilayah Nabatieh di seberang Sungai Litani.
Setakat ini tentera Israel sudah mengarahkan penduduk di lebih 77 kampung dan pekan di selatan Lubnan untuk meninggalkan kediaman mereka.
RAYUAN UNICEF, PALANG MERAH
Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan, lebih 690 kanak-kanak cedera di Lubnan dalam tempoh enam minggu pencerobohan Israel bermula.
Agensi kanak-kanak PBB itu menggesa gencatan senjata segera menegaskan kecederaan fizikal dan penderitaan psikologi meningkat dengan ketara di negara itu.
“Konflik yang mencetus malapetaka ini memberi kesan buruk kepada kanak-kanak. Doktor memberitahu kami tentang pengalaman merawat kanak-kanak yang mengalami pendarahan, lebam serta kecederaan teruk dari segi fizikal dan psikologi.
“Ramai yang mengalami kebimbangan, imbasan dan mimpi ngeri berkaitan letupan itu. Tiada kanak-kanak harus didedahkan kepada situasi ngeri seperti itu,” kata Pengarah Wilayah UNICEF, Adele Khodr.
Menurut UNICEF, kecederaan yang paling banyak berlaku kepada kanak-kanak di Lubnan kini termasuk gegaran otak, luka serpihan, dan kehilangan pendengaran akibat letupan.
Palang Merah Lubnan turut melaporkan keperluan mendesak untuk mendapatkan bantuan beg darah.
Organisasi itu dilaporkan membuat rayuan segera untuk penduduk menderma darah bagi membantu mereka yang cedera dan menyelamatkan nyawa mangsa yang parah.
Berpuluh-puluh orang awam terbunuh setiap hari dalam serangan Israel terhadap Lubnan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, seramai 28 pekerja penjagaan kesihatan terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu di Lubnan.
MENTERI LUAR IRAN TIBA DI BEIRUT
Dalam pada itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dilaporkan mendarat di Beirut, hanya beberapa jam selepas serangan udara Israel mengenai perimeter lapangan terbang.
“Satu rancangan Iran telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri dengan Menteri Luar Abbas Araghchi di atas kapal,” kata Agensi Berita Nasional Lubnan.
Ia merupakan lawatan pertama pegawai tertinggi Iran sejak serangan Israel membunuh Pemimpin Tertinggi Hezbollah, Hassan Nasrallah di Beirut minggu lalu.
Araghchi tiba untuk bertemu Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati dan Speaker Parlimen, Nabih Berri, yang merupakan sekutu rapat Hizbullah yang disokong Iran.
Sumber memberitahu Al Jazeera, Iran juga telah menyampaikan mesej kepada Washington melalui Qatar, menegaskan pihaknya tidak mencari perang serantau tetapi ‘fasa menahan diri’ secara unilateral telah berakhir.
Ulasan
Catat Ulasan