Kaji semula subsidi RON95 demi kesejahteraan B40, M40



Kaji semula subsidi RON95 demi kesejahteraan B40, M40
October 21, 2024

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk mengkaji semula pelaksanaan subsidi minyak RON95 bagi memastikan pendekatan yang lebih holistik dan adil kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Menurut Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang), penyasaran semula subsidi RON95 perlu diteliti dengan lebih mendalam bagi mengelakkan golongan B40 dan M40 daripada terus terbeban.

“Penyasaran semula RON95 yang dicadangkan oleh kerajaan miskipun kerajaan berhujah bahawa ia perlu bagi mengurangkan beban fiskal, hakikatnya kesan pada rakyat biasa khususnya golongan B40 dan M40 akan lebih membebankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurutnya, kenaikan harga minyak juga akan menyebabkan peningkatan kos pengangkutan, yang kemudiannya mencetuskan lonjakan harga barangan keperluan asas.

“Apakah kerajaan telah membuat kajian terperinci tentang kesan berantai ini atau adakah rakyat sekali lagi akan menjadi mangsa kepada dasar kerajaan yang tergesa-gesa.

“Dalam situasi ini golongan miskin akan menanggung beban yang berganda bagi mereka yang tinggal di luar bandar dan bergantung kepada pengangkutan untuk bekerja kesan ini amat terasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

Ulasan