Kehadiran Batik Air rancak pelancongan di Kelantan


Kehadiran Batik Air rancak pelancongan di Kelantan
October 22, 2024


KOTA BHARU: Batik Air merintis laluan baharu dari Subang SkyPark ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu bermula semalam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Zameri Mat Nawang berkata, kehadiran pesawat syarikat itu bakal merancakkan ekonomi Kelantan.

Katanya penerbangan terus Batik Air ke Kota Bharu dijangka akan merancakkan trafik pelancongan di Kelantan.

“Penerbangan sulung Batik Air ke LTSIP secara tidak langsung menyumbang kepada kemakmuran ekonomi sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

“Kelantan dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara kerana mempunyai pelbagai tarikan antaranya makanan, Pasar Siti Khatijah, alam semula jadi dan zon bebas cukai,” katanya di sini.

Semalam Zameri menyambut ketibaan 76 penumpang Batik Air dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang tiba jam 7 petang.

Pada 2 Oktober lepas, Batik Air mengumumkan pelancaran laluan baharu ke Kota Bharu yang menawarkan perjalanan lebih cepat dan selesa menggunakan pesawat Boeing 737.

Penerbangan ke Kota Bharu merupakan laluan kedua Batik Air dari Subang SkyPark selepas pelancaran laluan ke Pulau Pinang.

Zameri yang juga Adun Jelawat berkata, kehadiran pelancong menjadikan LTSIP antara lapangan terbang yang sibuk di Malaysia. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

Ulasan