Kenapa kapal perang China disambut luar biasa kerajaan Pulau Pinang?





Kenapa kapal perang China disambut luar biasa kerajaan Pulau Pinang?
October 11, 2024

Share
Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan sambutan luar biasa yang diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang terhadap rombongan dua kapal perang latihan bersama pelajar dari China ke Pelabuhan Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata perkara itu amat dikesali tatkala sensitiviti rakyat yang masih terkesan isu poster Bulan Kebangsaan tular tempoh hari masih belum reda.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah poster pertandingan buku skrap anjuran sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang didakwa menggunakan gambar propaganda tentera China dan telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

“Ia ditambah pula dengan pencerobohan demi pencerobohan yang dilakukan oleh tentera China ke atas perairan kita khususnya di perairan Sabah dan Sarawak sehingga menimbulkan kebimbangan dan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kerajaan Pulau Pinang sepatutnya lebih sensitif dan peka terhadap perkembangan semasa melibatkan pertikaian isu Laut China Selatan dan kawasan minyak dan gas oleh Petronas.

“Apatah lagi memberikan sambutan seperti wira kepada kapal perang China di tengah-tengah kehangatan isu yang disebutkan di atas.

“Ini amat tidak bertanggungjawab sama sekali,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang, berkata ia juga boleh menghantar isyarat yang salah kepada ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) khususnya negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Vietnam dan Filipina.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia tidak boleh memberi hala tuju yang ‘mengelirukan’ kepada negara-negara jiran kita.

“Mereka turut disambut dan diraikan oleh sebuah sekolah, di mana sambutan besar-besaran oleh pihak sekolah dan pelajar dilaporkan turut mengambil tempat.

“Pendedahan ini amat merisaukan sedangkan kita tidak pernah pun menjemput tentera dari mana-mana negara kuasa besar lain hadir ke sekolah kita.

“Apa yang kita saksikan di Pulau Pinang ini amat membimbangkan dan mencetuskan tanda tanya,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, pihaknya boleh menerima perkara itu sekiranya tentera China hadir ke pelabuhan untuk melakukan ‘panggilan pelabuhan’, tetapi bukan dengan diberikan sambutan luar biasa seperti ini.

Justeru, pihaknya terutamanya PN menuntut penjelasan yang bertanggungjawab daripada kerajaan Pulau Pinang berkenaan perkara ini. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

Ulasan