‘Kerajaan tak boleh anggap pendidikan satu bebanan’





‘Kerajaan tak boleh anggap pendidikan satu bebanan’
October 11, 2024

Share
Mohamed Fadzli Hassan

KUALA LUMPUR: “Agenda pemansuhan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 September lalu seharusnya tidak dilaksanakan.”

Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendidikan di dalam negara ini adalah keperluan setiap rakyat dan menjadi tanggungjawab tertinggi atau Fardu Ain kepada kerajaan.
- Advertisement -


Menurutnya, kerajaan tidak boleh menganggap pendidikan sebagai satu bebanan sebaliknya ia adalah saham kerajaan bagi pembinaan masa depan negara.

“Bahkan dalam Perlembagaan Malaysia telah tercatat biasiswa dan danasiswa sebagai antara keistimewaan diperuntukkan kepada peribumi ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambah beliau, pemberian subsidi pendidikan kepada semua pihak sememangnya tidak nampak keuntungan secara material, tetapi pemberian itu adalah apa yang diperlukan oleh rakyat dan negara.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan dalam memastikan setiap anak di Malaysia lancar memperoleh akses pendidikan dan ilmu berdasarkan tahap masing-masing.

“Ke arah mencapai status negara maju, Malaysia amat memerlukan intelektual yang dilahirkan dari ‘rahim’ pendidikan sendiri, tegas beliau.

Fazli berkata, sekatan untuk memberikan biasiswa dan danasiswa kepada anak-anak golongan kaya disebabkan angkara politik boleh memperlahankan perkembangan pendidikan di negara ini.

Pemberian biasiswa atau subsidi pendidikan sememangnya tidak nampak keuntungan secara material tetapi itu adalah apa yang diperlukan oleh rakyat dan negara.

Tambah beliau lagi, pemansuhan biasiswa atau subsidi ke atas pelajar yang berada di dalam golongan kaya tidak boleh diputuskan.

“Hal ini kerana, ibu bapa pelajar ini yang berduit. Sedangkan setelah tamat pengajian, pelajar itu sendiri yang terpaksa menanggung hutang pinjaman pendidikan,” hujahnya.

Justeru, ujar beliau lagi, golongan kaya turut menyumbang kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan sebagainya.

“Mereka juga berhak mendapat keistimewaan yang seharusnya semua rakyat dapat.

“Dalam perkara subsidi lain atau cukai, mungkin boleh dimansuhkan subsidi tetapi tidak dalam agenda pendidikan kerana anak-anak mereka akan terjejas dan akan menanggung nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

Ulasan