Khidmat Malaysia sertai Konvensyen Rakan NADMA

 





October 9, 2024

PUTRAJAYA: Khidmat Malaysia, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) baru-baru ini telah menyertai Konvensyen Rakan NADMA.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Khidmat Malaysia sentiasa memberi komitmen yang sebaiknya dalam membantu menangani bencana banjir yang berlaku di dalam negara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, persediaan yang dilakukan oleh Khidmat Malaysia bermula dari operasi menyelamat (rescue) diikuti dengan bantuan kepada mangsa (relief).

“Seterusnya proses pemulihan (rehabilition) dan semuanya bergantung kepada situasi di lapangan khususnya yang berkaitan dengan operasi menyelamat.

“Ketika ini anggota dan sukarelawan Khidmat Malaysia sentiasa diberikan latihan yang bersesuaian dengan skop tugas masing-masing,” katanya di laman sosial Facebook Khidmat Malaysia.

Sehubungan itu pada 8 Oktober (semalam), beliau bersama lima Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Khidmat Malaysia turut hadir sebagai peserta di Konvensyen Rakan NADMA yang berlangsung di DoubleTree Hilton Putrajaya Lakeside.

Konvensyen yang diadakan ini merupakan platform penting menghubungkan pelbagai sektor dan kepakaran dengan tujuan memartabatkan serta meraikan peranan NGO dalam menyokong pelaksanaan model Humanitarian-Development Nexus (HDN).

Fokus utama adalah untuk mencapai agenda pengurangan risiko bencana (DRR) dan memperkukuh daya tahan tempatan di Malaysia.

Tambah beliau lagi, terdapat 5 sesi forum telah diadakan sepanjang konvensyen itu.

“Sesi pertama, forum yang disampaikan bertajuk Menghubungkan Visi Global dan Tindakan Tempatan: DRR Malaysia 2030 telah disampaikan oleh Pegawai Khas, Profesor Masahiko Horie dan Duta Hal Ehwal Alam Sekitar Global dari Kementerian Luar Negara Jepun, Profesor Izumi Takako.

“Sementara,, penyampaian forum pada sesi ke-2 bertajuk Perspektif 2030 Budaya Daya Tahan di Ambang Cabaran: Pengalaman dan Strategi Unik dari Dunia Kemanusiaan yang disampaikan oleh Noorul Syifa Mohd Isa; Tuan Norazam bin Abu Samah dan Tuan Lee Peng Sian.

“Selain itu, beberapa perkongsian kisah dan inspirasi dalam Memperkukuh Tata Kelola Risiko dan Memperkasa Komuniti Berdaya Tahan dalam Model Pengurusan Bencana Baru turut dikongsi oleh pihak yang berpengalaman dalam menghadapi secara berhadapan dengan bencana,”ujarnya

Dalam pada itu, beliau berkata majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Rakan NADMA disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Diharapkan hasil daripada konvensyen ini dapat memberi kerjasama lebih erat antara semua pihak.

“Ia bertujuan untuk membangunkan dan membantu masyarakat di luar sana agar lebih berdaya tahan dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam bencana,” katanya. HARAKAHDAILY 9/10/2024


Ulasan