‘Kita juga boleh kata UMNO mempergunakan DAP’
MOHAMED KHALED NORDIN
Oleh Omar Zin
4 Oktober 2024, 6:30 am
MUKADIMAH
ADA yang tertanya-tanya bagaimana UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh meraih kemenangan besar dengan majoriti 20,648 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini, berbanding majoriti 5,166 undi dua tahun lalu.
Ada yang kata, ia hasil kejayaan menarik sebahagian besar pengundi Melayu dan bukan Melayu hasil kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan. Ada juga yang kata Perikatan Nasional (PN) sudah kehilangan sokongan, walaupun hakikatnya, jumlah undi yang diperoleh pembangkang itu tidak banyak berubah iaitu sekitar 7,000 undi sahaja.
Ikuti pandangan Naib Presiden UMNO, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN dalam temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN baru-baru ini.
MENGAPA PENGUNDI PILIH BN
Rakyat memilih jalan sederhana. Kesederhanaan bahawa rakyat terima BN khususnya. Kita boleh terima hakikat, negara ini rakyat berbilang kaum dan kita perlu menerima antara satu dengan lain.
Formula untuk mengurus hubungan antara kaum adalah kesederhanaan, jika kita tidak amalkan kesederhanaan, kita tidak mungkin dapat mengurus hubungan dengan baik.
Memanglah dalam parti-parti BN dan PH, apatah lagi parti lawan, ada sahaja yang tidak mencerminkan pendekatan dan sikap sederhana. Tetapi jangan itu dijadikan sebagai perkara yang mempengaruhi keseluruhan usaha-usaha negara.
Pertama, rakyat mahukan kebenaran. Yang kedua, rakyat sudah jemu dengan pihak pembangkang yang asyik-asyik mainkan isu Melayu dan Islam. Itu tidak akan menyelesaikan isu-isu yang ada di hadapan rakyat.
Pengundi sudah semakin cerdik dan boleh fikir. Pengundi bukannya pengundi yang tidak ada pengetahuan atau tidak boleh berfikir.
Jadi, mereka boleh memikirkan penggunaan sentimen, sentimen kaum, yang menakut-nakutkan. Saya percaya semakin lama terutama dalam kalangan seluruh orang muda, ia semakin tidak laku.
Lagi-lagi memang pembangkang ketandusan idea ataupun isu apatah lagi pembangkang langsung tidak ada formula-formula dan pandangan-pandangan yang boleh menyumbang kepada pembangunan dan juga usaha-usaha menyelesaikan isu masyarakat.
TIDAK SEMUA SOKONG KERAJAAN
Memang tidak dinafikan, sepanjang masalah dan kerumitan yang ada, kerajaan mengambil pendekatan untuk memperbaiki fasal-fasal yang ada dalam negara, yang memang permulaannya akan mengambil masa.
Ada orang yang tidak faham. Ataupun ada kesan-kesan yang tidak membawa manfaat. Semua itu sementara tapi dalam jangka masa panjang, rakyat akan boleh nampak hasil-hasil dan juga kesan-kesannya.
Pelaburan masuk, pengangguran diatasi, peluang-peluang yang banyak dilahirkan dan juga pertumbuhan ringgit.
Memang tidak dinafikan, banyak peluang-peluang yang dahulu sudah tidak ada ataupun tidak dapat, tetapi itu kerana perubahan-perubahan dan kemajuan teknologi. Yang penting, rakyat dapat menyesuaikan diri. Bukan dengan hanya semuanya menyalahkan kerajaan.
TIDAK RAMAI KELUAR MENGUNDI
Kita percaya rakyat mungkin penat, tidak mahu terpengaruh dan terperangkap dengan politik, parti-parti yang mahu melihat keadaan negara yang tidak stabil, rakyat mahu ini masa kerajaan bekerja. Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha-usaha membangun dan memajukan rakyat.
Daripada asyik rakyat dikongkong, dipengaruhi untuk meneruskan perpecahan dan mewujudkan ketidakstabilan. Rakyat, saya percaya mahu supaya tumpuan diberikan kepada usaha untuk memperbaiki kehidupan kita.
Lagi-lagi kerana rakyat pun sedar ini hanyalah pilihan raya kecil, tidak mungkin, tidak berupaya dan tidak akan berlaku perubahan kerajaan, jadi buat apa rakyat mahu mensia-siakan sokongan serta undi mereka.
PENGUNDI BUKAN MELAYU TIDAK SOKONG BN?
Saya percaya sebahagian daripada perkara-perkara tertentu yang menjadi asas sokongan rakyat kepada BN dan calon kerajaan perpaduan.
Pada masa yang sama itu jugalah, pengundi-pengundi bukan Melayu yang dibawa oleh PH, saya percaya sebahagiannya yang beri sokongan kepada BN, berfikiran yang sama.
Kita tidak boleh menjangkakan semua pengundi PH yang dulu undi PH, semuanya akan keluar mengundi UMNO dan BN. Kita pun tahu, baru dua tahun kita bersama, baru dua tahun kita bekerja dan berkolaborasi untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.
Tentunya mustahil, kita berseteru, kita bersaing antara satu yang lain, alih-alih dua tahun sudah, dengan mudah semuanya kita akan dapat secara automatik dari segi sokongan.
Kita kena beri masa. Walaupun dengan jumlah undi dan sokongan bukan Melayu yang didapati oleh PH dahulu, apa yang kita dapat, kita sewajarnya bersyukur. Kerana baru sahaja kita mula untuk mengenali antara satu dengan yang lain.
PEMBANGKANG TUDUH DAP PERGUNAKAN UMNO
Tentunya, kemenangan kita, macam-macam ulasan yang dibuat terutamanya ulasan-ulasan negatif yang diberikan oleh pihak PN terutamanya.
Itu adalah cerminan kebimbangan dan juga iri hati mereka terhadap kerjasama ini yang juga di peringkat kerajaan persekutuan tapi sedikit demi sedikit, difahami dan diterima oleh rakyat.
Saya percaya, orang Melayu khususnya, dalam menyokong kerjasama UMNO dengan PH termasuklah DAP, saya percaya bahawa keberadaan dan kebersamaan UMNO dengan parti-parti dalam PH tidak bermakna UMNO akan mengenepikan perjuangan asasnya.
Adalah tidak mudah untuk menerima kempen-kempen dan kenyataan-kenyataan fitnah pihak pembangkang yang mengatakan iaitu kerjasama BN dengan DAP akan menyebabkan UMNO hilang. Mereka kata, DAP mempergunakan UMNO, kita juga boleh kata UMNO mempergunakan DAP.
Tapi pokoknya, pihak pembangkang memang ada sebab untuk bimbang kerana mereka tahu bahawa ini adalah satu kekuatan yang tidak mungkin dia capai, yang akan menjadi halangan besar untuk mereka mencapai cita-cita politik mereka.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan