Kompaun pindaan Akta 342, apa pendirian kerajaan



Kompaun pindaan Akta 342, apa pendirian kerajaan
October 14, 2024

Share
Abdul Latiff Abdul Rahman

KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) meminta kerajaan menyatakan pendirian mengenai pemindaan seksyen 25 Akta 342 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk menawarkan kompaun bagi kesalahan tertentu.

Beliau berkata, di bawah RUU itu, kompaun maksimum dikenakan RM5,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat dan denda maksimum di bawah penalti am pula adalah RM10,000 untuk individu serta RM100,000 untuk syarikat.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Tambun ketika menjadi pembangkang menegaskan bahawa peningkatan denda bukanlah penyelesaian yang berkesan.

“Tambun pernah mengatakan bahawa ‘jangan hanya nak naikkan denda. Denda ini saya bimbang yang kena orang bawah, petani, nelayan. Sebab itu saya tidak fikir keutamaan menaikkan denda, tetapi penguatkuasaan kena jelas.’

“Jadi sejauh manakah kerajaan melihat keperluan tindakan pengkompaunan ini dalam mencerminkan kepekaan kerajaan terhadap keperitan nasib rakyat ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu, beliau menekankan pentingnya pendidikan kesihatan dalam menangani masalah ini dan menyeru agar penguatkuasaan disertai dengan kempen kesedaran.

“Ini kerana hukuman yang berat semata-mata berpotensi membuka ruang kepada prospek salah guna kuasa.

“Sejauh manakah penekanan Kementerian terhadap aspek pendidikan kesihatan awam untuk memastikan pencegahan dan kawalan penyakit yang berkesan, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang pencegahan penyakit berjangkit dan pendidikan kesihatan secara amnya dalam kalangan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

Ulasan