Laksanakan akta wajib undi, elak ‘manipulasi’ sistem demokrasi



Laksanakan akta wajib undi, elak ‘manipulasi’ sistem demokrasi
Undang-undang wajib mengundi akan menyaksikan lebih ramai keluar mengundi dalam pilihan raya.
Oleh CATHERINE IRENE MILTON
5 Oktober 2024, 6:24 am

PETALING JAYA: Kerajaan disaran menggubal akta bagi mewajibkan pengundi untuk keluar melaksanakan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, dengan adanya akta tersebut, pengundi tidak akan mengambil alasan untuk tidak keluar membuang undi.

Menurutnya, rata-rata alasan pengundi tidak mahu mengundi ekoran banyak rakyat kini telah berhijrah ke tempat atau negeri lain yang jauh dari kawasan pusat pembuangan undi.

“Situasi ini sering terjadi apabila tibanya hari mengundi terutamanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK), kerana pengundi berpendapat sama ada mengundi ataupun tidak, ia tidak akan menukar keputusan pemimpin kerajaan.

“Walaupun hari mengundi sering diadakan pada hujung minggu, tetapi disebabkan kos ulang alik bagi pengundi yang tinggal di kawasan yang jauh, pengundi mengambil keputusan untuk tidak balik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, sekiranya akta tersebut dapat dilaksanakan suatu hari nanti, maka kawasan undi terlalu jauh tidak dapat diterima sebagai alasan.

“Di dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan pilihan untuk mereka yang layak untuk membuang undi berhak untuk menukar alamat bagi memudahkan urusan membuang undi.

“Pada masa sama pengundi dapat menikmati manfaat daripada pemimpin di kawasan masing-masing sekiranya mereka memang menetap di tempat berkenaan,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan 266,000 daripada 677,739 pemilih berdaftar tidak mengundi pada 10 PRK selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal mencetus kebimbangan penyertaan masyarakat dalam proses demokrasi.

Angka tersebut diperoleh hasil gabungan peratusan pengundi pada PRK peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit berdasarkan data dikongsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan menjelaskan, rakyat perlu memahami sistem demokrasi iaitu merupakan sebuah sistem politik yang perlu dihormati.

“Apabila ramai yang memilih untuk tidak keluar mengundi maka ia akan memberikan implikasi yang sangat besar kepada sistem politik itu sendiri dan calon-calon pemimpin yang tak selayaknya mudah memiliki kuasa.

“Secara tidak langsung apabila mereka ini memilih untuk tidak mengundi maka kepercayaan terhadap sistem demokrasi itu akan terhakis.

“Lama kelamaan ia akan berubah menjadi satu norma dan tabiat baharu apabila politik tidak lagi dijadikan sebagai sesuatu yang serius,” katanya.

Sehubungan itu, akta baharu perlu digubal untuk mewajibkan orang ramai keluar mengundi akan dapat memberi implikasi yang positif kepada struktur pentadbiran negara. – UTUSAN

Ulasan