Majikan tiga negeri belum sedia laksana gaji minimum



Majikan tiga negeri belum sedia laksana gaji minimum
PELAKSANAAN gaji minimum belum sesuai dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Oleh HAFIZ MUTALIB, YATIMIN ABDULLAH dan SURAIDAH ROSLAN
22 Oktober 2024, 6:51 am

PETALING JAYA: Majikan di tiga negeri tidak bersedia melaksanakan gaji minimum RM1,700 kerana pertumbuhan ekonomi dan ekosistem perniagaan yang belum kukuh untuk menampung kenaikan sebanyak RM200.

Majikan dan peniaga di Perlis serta Kelantan dijangka terkesan dengan pelaksanaannya berikutan saiz negeri yang kecil dan kos sara hidup rendah manakala di Sabah ekoran masalah kos bahan mentah yang jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis, Koay Chee Khoon berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,700 di bandar-bandar besar mungkin tidak menjadi masalah kerana kelaziman gaji pekerja antara RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan.

Katanya, kebanyakan pekerja di bandar-bandar itu juga adalah lepasan universiti yang ideal menerima gaji minimum RM2,000 sehingga lebih RM3,000 berbanding negeri ini rata-rata pekerjanya dalam pelbagai sektor adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ia akan menjadi satu beban yang cukup besar kepada majikan khususnya di Perlis yang mana sebelum ini gaji sekitar RM1,500 juga sudah cukup berat bagi mereka.

“Bagaimana majikan terpaksa ikut akta ini (gaji minimum) namun menyebabkan kos kepada mereka semakin meningkat. Bagaimana pula dengan majikan-majikan kecil, apakah mampu membayar gaji minimum dengan jumlah se­perti itu?,” katanya.

Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bakal berkuat kuasa mulai 1 Februari depan bagi majikan yang mempunyai lima pekerja atau lebih sebagaimana diumumkan Menteri Kewa­ngan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025, Jumaat lalu.
KOAY CHEE KHOON

Menurut Chee Khoon, antara kesan lain adalah harga sesuatu barangan yang dijual berkemungkinan terpaksa dinaikkan bagi menampung kos yang semakin tinggi oleh majikan.

Selain itu, katanya, risiko mengurangkan tenaga kerja tidak mustahil berlaku bagi majikan mengurangkan kos.

“Kerajaan mungkin boleh melihat semula perkara ini dengan gaji minimum ber­kenaan hanya sesuai dilaksa­nakan di bandar-bandar besar. Di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Selangor dan sebagainya tidak pernah menjadi isu berkaitan gaji minimum tersebut,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Kehormat Dewan Perniaga Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan, Dr. Mohd. Fazlan Ghazali berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,700 tidak sesuai dilaksanakan di Kelantan dengan mengambil kira kos sara hidup di negeri itu yang rendah berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, kadar pertumbuhan ekonomi di Kelantan yang perlahan memberi kesan kepada pelaksanaan tersebut.

“Sebagai contoh, jika sebelum ini majikan memiliki 10 pekerja dan kadar bayaran gaji RM1,500 setiap seorang dan setiap bulan perlu mengeluarkan belanja RM15,000.

“Bila gaji naik kepada RM1,700, setiap bulan majikan terpaksa menanggung pertambahan sebanyak RM2,000 untuk membayar gaji. Walaupun jumlah itu kecil, tapi kesan kepada majikan cukup besar.

“Dalam perniagaan, bila untung yang diperoleh tidak banyak, bagaimana kita hendak bayar gaji tinggi sekiranya mempunyai ramai tenaga kerja. Ia pastinya tidak memberikan keuntungan kepada pe­ngusaha dan industri,” katanya.

Mohd. Fazlan berkata, hal ini kerana pengusaha perlu membayar cukai manakala bagi orang Islam mereka wajib mengeluarkan zakat, bil utiliti dan lain-lain yang mana situasi itu pasti memberi tekanan kepada majikan.

Katanya, gaji yang paling se­tara untuk dilaksanakan di Kelantan adalah sekitar RM1,500 bagi sektor pekerjaan biasa.

Katanya, jika pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu diteruskan, berkemungkinan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu tidak akan berkembang.

Dalam pada itu, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Sabah (DPUS), Dr. Anita Mohamed berkata, pada masa ini peniaga di Sabah sudah cukup terbeban dengan kos bahan mentah yang jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, kos bahan mentah di Sabah kebanyakannya dari Semenanjung Malaysia dan jika ditambah dengan kos logistik serta kadar gaji minimum yang tinggi, maka peniaga di negeri itu tidak mampu bertahan.

Katanya, apabila kos pengeluaran terlalu tinggi, peniaga terpaksa berkorban dengan menurunkan kadar keuntu­ngan untuk mengelakkan mereka terbeban.

“Saya rasa di Sabah, gaji RM1,700 itu memang terlampau tinggi. Jika dilihat kita punya kenaikan kadar gaji minimum dalam beberapa tahun ini terlampau drastik. Bermula daripada RM1,000 kepada RM1,200 dan sekarang RM1,700.

“Sebagai peniaga, kadar gaji minimum RM1,700 itu adalah satu cabaran yang sangat berat kepada semua peniaga, tidak kira sama ada peniaga dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mahupun peniaga yang mempunyai ramai pekerja.

“Di Sabah, kos kita 15 peratus lebih tinggi berbanding di Semenanjung dari segi harga barangan. Jika kita kurangkan margin, kita terpaksa bersaing dengan pesaing-pesaing yang menawarkan harga barang dan perkhidmatan yang lebih murah,” katanya.

Presiden Persatuan PKS Sabah, Datuk Foo Ngee Kee pula berkata, kenaikan kadar gaji minimum akan menyebabkan kos barangan naik dan dipindahkan kepada pelanggan sekali gus mengurangkan permintaan.

“Situasi itu akan menyebabkan pendapatan peniaga berkurang. Jadi, jika peniaga terpaksa membayar kadar gaji minimum yang begitu tinggi maka, mereka terus mengalami kerugian.

“Ini mungkin memaksa PKS untuk berfikir panjang untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Nik Saiful Adli Burhan turut meluahkan kebimbangan kenaikan gaji minimum itu akan menutup peluang graduan yang baharu menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) untuk mendapat kerja.

Katanya, kenaikan itu menyebabkan majikan memilih tenaga kerja berpengalaman dan terbukti mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan setimpal dengan bayaran gaji.

“Kita sebenarnya masih terkesan dengan kenaikan gaji minimum RM1,500 yang dilaksanakan sebelum ini. Anda boleh lihat berlakunya pengurangan pekerja oleh syarikat bersaiz sederhana dan kecil dan ini tidak baik untuk negara.

“Belum tiba masanya kita meningkatkan pendapatan secara mendadak, akhirnya mengabaikan masalah pengangguran yang masih belum selesai. Malaysia belum cukup maju dan kita masih berada di peringkat negara sedang membangun,” katanya. – UTUSAN

Ulasan