Memalukan jika Kuala Lumpur tidak kalis banjir





Memalukan jika Kuala Lumpur tidak kalis banjir
Oleh Aznan Bakar
20 Oktober 2024, 7:20 am


APABILA Utusan Malaysia menyiarkan berita dengan tajuk Lembah Klang tenggelam lagi dan Malaysia belum bersedia hadapi cuaca ekstrem, banyak pihak melenting. Ada yang menyifatkan berita itu tidak bersandarkan fakta dan sebagainya.

Sepatutnya rakyat yang perlu marah apabila pada pagi Selasa lalu 2.2 juta penduduk Lembah Klang terperangkap dalam kesesakan akibat banjir. Kenderaan dan harta benda mereka yang lain rosak akibat kerana banjir.

Bagaimana pula dengan nasib 20 penduduk di Jalan E6 Taman Melawati yang diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa? Patutkah mereka marah? Kepada siapa mereka perlu marah disebabkan bencana semua ini.
Kuala Lumpur bukan calang-calang bandar raya. Ia kota raya yang mendapat pujian seantero dunia.

Tidak percaya? Cubalah tinjau di media-media sosial. Majoriti pelancong asing mengagumi ibu negara kita yang tercinta ini.

Tetapi apabila setiap kali hujan akan berlaku banjir, ia bukan sesuatu yang baik kepada imej Kuala Lumpur sebagai kota tarikan pariwisata.

Dalam kejadian banjir kilat pada Selasa lalu, banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah banjir turut ditenggelami air. Tentu memalukan, apabila Parlimen yang merupakan tempat pemimpin kita menggubal dasar untuk rakyat turut terjejas kerana banjir ini.


Cuma dalam kejadian Selasa lalu, Terowong Smart dilihat sebagai penyelamat. Ramai yang berpendapat tanpa terowong itu, ibu negara mungkin sudah tenggelam. Apa pun, para pentadbir di ibu negara yang bergelar perancang bandar yang di depan nama mereka TPr berjela-jela tidak boleh bergantung harap kepada terowong itu semata-mata kerana situasi sudah berubah

Dalam dunia yang serba moden dan penuh dengan pelbagai teknologi sekarang, sepatutnya pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan Kuala Lumpur ini kalis banjir.

Para perancang bandar sepatutnya menggunakan kecerdasan pintar (AI) untuk melakukan simulasi untuk tempoh lima, 10 dan 20 tahun akan datang. Sudah tentu dalam tempoh itu sudah ada projek yang diluluskan yang membabitkan pertambahan penduduk dan pertambangan bangunan.

Buatlah simulasi sama ada, sistem perparitan dan saliran yang ada sekarang mampu menampung pertambahan itu. Daripada situ boleh buat perancangan longkang mana yang perlu dibesarkan, parit mana yang kena didalamkan dan sungai mana yang perlu diluruskan.

Tetapi disebabkan sikap sudah terhantuk baru hendak terngadah, maka, kita selalu berfikir untuk mencari penyelesaian apabila masalah sudah membarah.

Selepas itu menjadikan alam sebagai alasan. Contohnya dulu hujan hanya 60mm tetapi sekarang 100mm. Sedangkan semua itu boleh diramal. Bila mahu hujan, berapa jumlah hujan dan pelbagai lagi semuanya boleh diramal.

Berdasarkan daripada ramalan ini sepatutnya kita sudah boleh melakukan persediaan untuk memastikan Kuala Lumpur bebas banjir. Apa guna memiliki bangunan pencakar langit antara tertinggi di dunia jika isu banjir pun tidak boleh hendak diuruskan.

Jangan nanti pelancong terpaksa berdiri dalam air separas pinggang untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan KLCC atau Menara 118.
Memalukan jika kita gagal jadikan Kuala Lumpur bandar raya kalis banjir.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan