Pekerja lebih bersemangat, selesa jika suasana pejabat harmoni
Oleh Khairul Azhar Idris - Oktober 11, 2024 @ 8:39am
Kesihatan Mental mampu mempengaruhi kualiti kehidupan seharian, tahap pembelajaran dan produktiviti seseorang jika tidak ditangani dengan berkesan. Anda tidak berseorangan, tampillah untuk mendapatkan bantuan.
PADA 10 Oktober setiap tahun, dunia menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia sebagai usaha global meningkatkan kesedaran dan runding cara kepentingan kesihatan mental untuk semua.
Tema dipilih pada tahun ini, 'Sudah Tiba Masanya Mengutamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja', sebenarnya adalah cerminan terhadap keperluan mendesak untuk memberi perhatian khusus kepada kesejahteraan mental dalam persekitaran tempat kerja.
Peningkatan tekanan dan tuntutan kerja terutama pada fasa pasca-pandemik COVID-19, kesejahteraan mental di tempat kerja semakin menjadi isu penting perlu menjadi keutamaan di tempat kerja.
Kesihatan mental di tempat kerja memainkan peranan kritikal kerana ia menentukan corak dan tahap produktiviti, kepuasan kerja dan kesejahteraan pekerja. Gangguan mental lain seperti kebimbangan, tekanan dan keletihan mental menyumbang kepada penurunan produktiviti serta peningkatan ketidakhadiran kerja.
Oleh itu, mewujudkan persekitaran kerja menyokong kesihatan mental adalah penting untuk memastikan keberkesanan dan kesejahteraan pekerja lebih-lebih lagi apabila senario isu ini mendapati trend menjulang membimbangkan semua pihak.
Berkaitan perkara ini, terdapat peningkatan lima kali ganda dalam bilangan individu mendapatkan sokongan psikososial melalui Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) pada 2022 berbanding 2020.
Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 turut menunjukkan satu pertiga rakyat berumur 16 tahun ke atas berdepan masalah mental dan angka ini dijangka terus meningkat.
Isu kesihatan mental turut dikaitkan dengan peningkatan tingkah laku bunuh diri, terdapat peningkatan 81 peratus kes bunuh diri pada 2021 berbanding sebelumnya.
Fakta juga mendapati terdapat pelbagai faktor mempengaruhi kesihatan mental di tempat kerja antaranya tekanan akibat tuntutan kerja berlebihan dan tidak seimbang, lalu menjejaskan kesihatan mental pekerja.
Kekurangan sistem sokongan sosial sama ada dari rakan sekerja dan pengurusan, mewujudkan perasaan terasing dan tidak dihargai, turut menyumbang masalah kesihatan mental.
Selain itu, tiada keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi yang akhirnya membawa kepada keletihan melampau serta berpanjangan menjejaskan kesejahteraan mental pekerja.
Kebimbangan terhadap masa depan pekerjaan juga menimbulkan tekanan kepada pekerja yang bukan sahaja mengganggu kesejahteraan tetapi menjejaskan produktiviti syarikat.
Kesedaran memelihara kesihatan mental di tempat kerja perlu dipertingkat dan dipromosikan bagi menjamin kesejahteraan semua pekerja dan mendorong peningkatan produktiviti.
Terdapat beberapa langkah proaktif dalam organisasi dalam mengutamakan kesihatan mental pekerja termasuk mewujudkan budaya kerja menyokong dan inklusif. Ini boleh dicapai melalui komunikasi secara lebih terbuka, pihak pengurusan sudi memahami isu pekerja dan syarikat, serta menganjurkan program berkaitan kesihatan mental untuk semua pekerja.
Ini termasuk menyediakan latihan kesedaran kesihatan mental kepada pekerja dan pihak pengurusan dalam mengenali tanda awal masalah kesihatan mental serta cara mengatasinya bagi membantu mengurangkan stigma serta meningkatkan sokongan kesihatan mental dalam organisasi.
Menyediakan kemudahan waktu anjal dan fleksibiliti dalam jadual kerja atau peluang bekerja dari rumah (WFH) boleh membantu pekerja menguruskan tekanan serta keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Menyediakan akses kepada sokongan profesional seperti terapi dan kaunseling atau Program Bantuan Pekerja (EAP) adalah langkah penting membantu pekerja menghadapi cabaran kesihatan mental.
Mengiktiraf usaha dan pencapaian pekerja boleh meningkatkan motivasi dan kesejahteraan mental mereka. Amat perlu mengambil kira pendekatan spiritual keagamaan dalam pengurusan masalah kesihatan mental tempat kerja kerana ia digalakkan dalam Islam.
Islam mendorong budaya kerja berasaskan ukhuwah, pekerja saling membantu dan menyokong antara satu sama lain. Ini boleh mewujudkan persekitaran kerja lebih harmoni dan mengurangkan rasa terasing atau tekanan.
Dengan mewujudkan persekitaran kerja menyokong, menyediakan latihan serta mengambil pendekatan proaktif pengurusan kesihatan mental, organisasi boleh mencapai matlamat mewujudkan tempat kerja lebih sihat, selamat dan produktif.
Penulis ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM)
Ulasan
Catat Ulasan