Pembangunan di Bachok dan Kelantan perlu disegerakan


Pembangunan di Bachok dan Kelantan perlu disegerakan

Harap pembangunan berkepentingan rakyat dijayakan
October 22, 2024


KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) merakamkan penghargaan beliau kepada Kerajaan Persekutuan dan kementerian serta agensi terlibat dalam memenuhi prasarana infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan untuk warga Bachok.

Antaranya kepada Timbalan Perdana Menteri II yang sudi bertandang pada 11 Oktober lalu bagi penyerahan siapnya Projek Hospital Bachok di antara pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sesungguhnya pembinaan Hospital Bachok ini amatlah dinantikan, dan pastinya memberikan kelegaan kepada lebih 160,000 penduduk di Jajahan Bachok untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan dengan lebih sempurna.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada agensi pelaksana Persekutuan dan Negeri khususnya ICU, JKR, KKM, UPEN, pasukan projek, dan semua pihak terlibat sejak awal perancangan dan pembinaan fasiliti kesihatan yang penting ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS dan Setiausaha Politik Presiden PAS mengemukakan penghargaan tersebut semasa berucap mengambil bahagian membahas Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini semalam.

Syahir dalam ucapan perbahasan tersebut turut berharap dan menyeru Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya meneruskan bantuan dan sokongan kepada nelayan, petani, dan pengusaha lembu hibrid di Bachok.

Termasuk katanya, ada permintaan untuk dilabuhkan lebih banyak tukun tiruan iaitu bagi tujuan konservasi dan juga sebagai penghalang pukat tunda di sepanjang perairan Pantai Irama, Tawang, dan Kemasin bagi meningkatkan hasil tangkapan ikan dalam kalangan nelayan pantai.

“Seterusnya kepada YB Menteri Pendidikan, sangat dialukan pelaksanaan projek membaiki sekolah-sekolah daif yang banyak di pelosok Bachok. Juga kepada YB Menteri Kerja Raya, sangat dinantikan pembinaan jalan-jalan baharu di Jelawat, Tawang dan Pantai Irama.

“Kerana Bachok hari ini, kalau di hujung minggu, kesesakan luar biasa kerana menjadi destinasi tumpuan percutian dan perkelahan keluarga yang semakin ‘viral’ dan popular.

“Kepada semua perkara di atas, saya mohon jawapan secara bertulis daripada pihak Kementerian. Bolehlah jadi buah tangan untuk ‘adik-kakok’ ambo di Bachok,” ujarnya berloghat ‘Kelate’.

Manakala untuk Negeri Kelantan pohonnya, tiadalah yang diharapkan daripada prinsip federalism yang didokong bersama, supaya disegerakan penyiapan projek-projek pembangunan berkepentingan rakyat.

Terutama tegas Syahir, projek tebatan banjir, projek rawatan air, juga pembinaan lebuhraya dan jalan-jalan desa, di samping ketelusan dalam pembayaran tunai petroleum yang dilunaskan mengikut tempoh masa munasabah.

“Bukan dilewat-lewatkan sehingga ke hujung tahun seperti sebelum ini. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

Ulasan