Perjuangan Palestin tetap hidup walaupun Yahya Sinwar syahid


Perjuangan Palestin tetap hidup walaupun Yahya Sinwar syahid
Oleh Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin - Oktober 20, 2024 @ 8:03am
Papan iklan yang memaparkan Yahya Sinwar dengan slogan Arab "jika Sinwar gugur di medan perang, Palestin akan melahirkan 1,000 Sinwar", pada perhimpunan di ibu kota dikuasai Huthi Yaman, Sanaa pada 18 Oktober 2024. - 

KITA pasti syahdu membaca ucapan bersejarah Sayidina Abu Bakar RA kepada sahabat sedang berasa hiba dan sedih dengan berita kewafatan Nabi Muhammad SAW: "Sesiapa menyembah Muhammad SAW, sungguh Muhammad SAW sudah wafat, siapa menyembah Allah SWT, Dia hidup dan tidak mati."

Kemudian Abu Bakar mengingatkan firman Allah SWT: "Sungguh engkau (Muhammad) meninggal dunia dan mereka juga meninggal dunia." (Surah az-Zumar, ayat 30)

Beliau juga membacakan firman Allah SWT bermaksud: "Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul sudah pun didahului beberapa orang Rasul (wafat atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia wafat atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang bersyukur." (Surah Ali Imran, ayat 144)

Orang ramai selepas itu mula menangis teresak-esak seperti diriwayatkan Imam Bukhari dalam sahihnya. Peristiwa ini mengajarkan kita sesiapa pun berada di bumi ini akan menghadapi kematian walau setinggi mana kedudukannya.


Dunia Islam digemparkan kematian pemimpin Hamas baru dilantik, Yahya Sinwar selepas setahun Taufan al-Aqsa. Pelbagai pihak memberikan reaksi atas beliau.

Universiti al-Azhar al-Syarif dipimpin Sheikh al-Azhar, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb memuji pejuang Palestin berjuang dengan hak dan kebenaran. Bagaimanapun, sekutu Zionis seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kanada memuji kejayaan tentera Zionis menumbangkan ketua Hamas berkenaan.


Hakikatnya, kematian Yahya membuktikan beliau bukan sahaja pemimpin politik hanya pandai berucap, bahkan melaksanakan apa diungkapkan.

Buktinya, rejim Zionis menerbitkan video detik terakhir hayat Yahya dengan menggunakan dron ketika operasi. Video itu menunjukkan susuk tubuh beliau bersendirian duduk di atas sofa dalam keadaan tangan kanannya cedera dan tangan kiri sedang memegang sebatang besi atau kayu.

Dilaporkan, empat lagi pengawal dan rakan pasukannya dibunuh rejim Zionis. Yahya gugur syahid apabila ditembak penembak tepat dan sebahagian laporan mengatakan beliau disasarkan dengan peluru kereta kebal untuk meletupkan bangunan beliau sedang berlindung.

Jenazah beliau kemudiannya diperiksa rejim Zionis untuk mengesahkan Yahya atau sebaliknya. Keputusan DNA dan bukti susunan gigi menunjukkan mangsa adalah pemimpin Hamas terbabit.

Perkara ini menunjukkan beliau pemimpin berjuang di saf pertama dengan bersungguh-sungguh hingga akhir hayat. Ini jugalah harapan beliau beberapa tahun lalu ketika pandemik apabila menyebutkan umur mencapai 59 tahun dan lebih rela meninggal dunia diserang rejim Zionis daripada disebabkan serangan jangkitan virus COVID-19.

Cara kematian beliau juga menafikan dakwaan hina menyatakan pemimpin berkenaan sentiasa menyembunyikan diri dalam terowong, menyamar menjadi rakyat hanya untuk menjaga kepentingan diri sendiri atau menggunakan tawanan Israel sebagai perisai.

Lebih daripada itu, cara kematian beliau juga mewarisi pemimpin sebelumnya seperti Sheikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz Rantisi dan terbaru Sheikh Soleh Aruri dan Ismail Haniyeh.

Hakikatnya, sejarah penubuhan Hamas sejak 1987 hingga ke era Taufan al-Aqsa membuktikan perjuangan Palestin tidak pernah lumpuh, malah setiap kali berlaku pembunuhan seorang pemimpin, digantikan pemimpin baharu dan kekuatan mereka bertambah-tambah dari segi ketenteraan, politik serta sosial.

Dari segi ketenteraan, mereka hanya menggunakan batu dan bom molotov, kini menggunakan pelbagai jenis senjata hingga mampu menyasarkan Tel Aviv dan melumpuhkan dua pertiga aset kenderaan berperisai.

Dari segi politik, semakin ramai pemimpin dunia hari ini mengiktiraf atau menyokong sekurang-kurangnya pembebasan Palestin. Dari segi sosial, dahulunya penduduk Palestin berbelah bahagi ideologi perjuangan sama ada perkauman atau keIslaman, kini mereka terbukti memilih Hamas sebagai pemimpin negara melalui undian pilihan raya.

Yahya mendapat kemuliaan pada pengakhiran hidupnya sebagai al-Syahid pada jalan Allah SWT. Hal ini berasaskan kepada hadis diriwayatkan Nu'aim al-Ghatafani bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sebaik-baik syuhada ialah mereka berjuang di barisan pertama dan mereka tidak melihat ke belakang (bertukar niat), mereka menikmati bilik tertinggi dalam syurga, Allah ketawa kepada mereka (menunjukkan reda-Nya terhadap si syahid) dan apabila Allah ketawa kepada hambanya dalam suatu tempat maka tiada penghitungan ke atas perbuatannya (di alam akhirat).

Penulis ialah Penyelidik Aqsa Syarif

Ulasan