Pewartaan empat tapak Wat Siam tangkis fitnah terhadap PAS





Pewartaan empat tapak Wat Siam tangkis fitnah terhadap PAS
October 14, 2024

KUALA LUMPUR: “Usaha ini secara langsung mengeratkan hubungan antara etnik dan budaya, sambil menangkis fitnah bahawa PAS adalah parti ekstrem, seperti yang disebarkan oleh pihak-pihak berkepentingan yang cuba menabur benih kebencian.”

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan atau lebih dikenali sebagai Dr Bala berkata demikian, susulan kerajaan Kelantan baru-baru ini telah melakukan pewartaan di empat tapak kawasan tersebut.

“Pewartaan Wat Pathumviharn di Kampung Balai, bersama tiga wat lagi, sebagai tapak kebudayaan dan kemasyarakatan bagi komuniti Siam menjadikan jumlah keseluruhan Wat Siam yang diwartakan di Kelantan sebanyak 16.

“Perkara sebegini adalah sejak inisiatif ini diperkenalkan iaitu pada tahun 2017,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Menurut beliau, Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) iaitu Lim Guan Seng menegaskan bahawa pewartaan ini memudahkan pengurusan aktiviti kebudayaan dan urusan ibadat di kawasan berkenaan.

Tambahnya, tindakan sebegini membuktikan komitmen kerajaan negeri Kelantan dalam memastikan hak semua masyarakat termasuk komuniti Siam untuk terus dipelihara.

“Kami percaya bahawa langkah ini bukan sahaja memudahkan urusan keagamaan, tetapi juga menjadi simbol perpaduan antara kaum di Kelantan.

“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan komuniti Siam ini mencerminkan prinsip kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menekankan kepentingan memupuk kefahaman serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Bala menegaskan bahawa kerajaan negeri Serambi Makkah itu sememangnya tidak meminggirkan mana-mana kaum pun di negara ini.

“Maka, marilah kita menggunakan peluang ini untuk mengeratkan hubungan antara kaum dan memastikan setiap identiti budaya di Malaysia terus berkembang.

“Bersama-sama, kita boleh membina masyarakat yang lebih harmoni yang menghargai dan menghormati sumbangan setiap kumpulan etnik dan agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

Ulasan