PRK DUN Mahkota: Azmin dipersalahkan PN kalah teruk, apa kata Peja?



PRK DUN Mahkota: Azmin dipersalahkan PN kalah teruk, apa kata Peja?
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid - Oktober 4, 2024 @ 6:12pm
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dilangsungkan Sabtu lalu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti besar.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu memperoleh 27,941 undi dengan majoriti 20,609 undi, mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU, Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar meraih 7,332 undi.

Ada pihak melihat kemenangan BN itu kerana kelemahan PN sendiri, antaranya gagal mengemukakan calon berwibawa atau tidak mempunyai sokongan akar umbi kuat, selain strategi kempen tidak seragam dan kekurangan sumber.

Ada juga yang meletakkan kekalahan teruk dialami PN itu pada bahu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengarah PRK PN bagi DUN Mahkota.

DISYORKAN






Laporan sebuah portal berita memetik dua pemimpin pembangkang mendakwa ADUN Hulu Kelang itu gagal melaksanakan tugas dengan baik dalam menggembleng jentera pilihan raya gabungan terbabit.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini tampil mempertahankan bekas Menteri Besar Selangor itu.

Ahmad Faizal melihat Mohamed Amin telah menyediakan jentera pilihan raya mantap bagi gabungan itu di DUN Mahkota.

"Malah saya berpandangan jentera pilihan raya kami sewaktu PRK DUN Mahkota antara yang terbaik. Malangnya keputusan tidak menyebelahi kami, tetapi kami akan bangkit semula.

"Seluruh kepimpinan BERSATU akan bekerjasama bagi memastikan kami lebih kuat pada masa akan datang," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja, berkata parti menerima keputusan di Mahkota atas semangat demokrasi dan akan berusaha lebih gigih memperkemaskan jentera pilihan raya selepas ini.

"Segala perkara yang kami alami dalam PRK Mahkota akan diambil sebagai iktibar. Insya-Allah masa hadapan, kami akan meneruskan usaha untuk memastikan perjuangan diterima rakyat," katanya.

Ulasan