‘Ronald, Peja dan saya kombinasi terbaik’
Radzi Jidin
Oleh MEDIA MULIA
20 Oktober 2024, 7:30 am
KUALA LUMPUR: Calon Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin memberi bayangan kombinasi kepimpinannya bersama Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mampu membawa perjuangan parti terus ke hadapan.
Menjelaskan perkara itu, kedua-dua pemimpin berkenaan dikatakan pernah menggalas tanggungjawab dalam barisan kepimpinan tertinggi, sekali gus Radzi menyatakan beliau tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kerjasama tersebut pada penggal yang berikutnya.
“Kalau tanya saya, itu merupakan kombinasi cukup baik. Kalau kita lihat bagaimana kita boleh memberi ruang kepada Datuk Seri Ronald untuk bersama dengan kita, beliau merupakan seorang pemimpin bukan Islam. Indikasinya..sehingga hari ini kita tidak ada masalah dengan beliau. Kami bekerjasama dengan cukup baik.
“Sebab itu apa yang paling penting adalah menyusun bersama-sama kepimpinan yang dapat bantu untuk memperluaskan kefahaman berkaitan parti kepada semua pihak. Malah, apa yang lebih penting adalah masa depan parti itu dan pemilihan ini merupakan asas untuk meletakkan parti jauh lebih baik,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, semalam.
Radzi dalam masa yang sama turut mengulas kedudukannya sebagai penyandang Naib Presiden dengan tidak menjadikan ‘senarai’ Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dirinya berasa selesa, sebaliknya perlu terus berusaha mempertahankankan jawatan tersebut.
“Apabila Presiden sebut ketiga-tiga nama, saya, Ronald dan Ahmad Faizal, tentunya saya ada kelebihan. Tetapi, saya tidak boleh mengambil mudah dengan pertandingan di peringkat Naib Presiden dan yang paling penting adalah track rekod saya berkhidmat kepada parti kerana sepanjang menjadi Naib Presiden, banyak tanggungjawab besar yang saya pikul dalam membantu parti,” ujarnya.
Berikutan itu, beliau percaya dengan perwakilan yang menghormati Presiden, sekali gus yakin dirinya menjadi antara pilihan perwakilan pada pemilihan parti sesi 2024-2027 ini.
Julai lalu, Muhyiddin berkata, Ahmad Faizal bersetuju melepaskan jawatan Timbalan Presiden dan diserahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan menyasarkan jawatan naib presiden.
Muhyiddin turut menjelaskan yang beliau tiada masalah jika Ronald dan Radzi dikekalkan sebagai Naib Presiden bersama Ahmad Faizal.
Bagaimanapun, jawatan tersebut tetap berlaku pertandingan melibatkan enam penjuru termasuklah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris; ADUN Kuang, Mohd. Rafiq Abdullah dan Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, A’ziss Zainal Abiddin. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan