RUU Buruh Sabah diharap capai konsensus majikan, pekerja


RUU Buruh Sabah diharap capai konsensus majikan, pekerja
October 14, 2024


KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 turut melibatkan pengurangan jam kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, ia selaras dengan praktik di Semenanjung, dan diharapkan dapat mencapai konsensus antara majikan dan pekerja.

Beliau berkata, bagi sektor seperti perladangan, majikan diwajibkan menyediakan kemudahan perumahan, bekalan air, dan elektrik yang mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Terang beliau, walaupun langkah itu positif untuk pekerja, cabaran seperti potensi pengurangan produktiviti dan kos tambahan untuk kemudahan penginapan, terutamanya bagi syarikat kecil di kawasan luar bandar, memerlukan sokongan kerajaan untuk pelaksanaan pindaan itu.

“Di mana akses kepada infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik mungkin terhad. Dalam hal ini apakah bentuk bantuan atau sokongan pihak kerajaan dalam melaksanakan pindaan ini,” ujar beliau.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berharap pihak kerajaan akan menyediakan bantuan atau sokongan kepada majikan terutamanya yang beroperasi di kawasan pedalaman bagi memudahkan pelaksanaan pindaan itu.

Pindaan undang-undang, cabaran pelaksanaan

Selain itu, beliau berkata, pindaan undang-undang itu bertujuan menyelaraskan hak dan perlindungan pekerja di Sabah dengan Semenanjung Malaysia, sambil mempertimbangkan kepentingan majikan.

Namun, jelasnya, pelaksanaan undang-undang masih menjadi cabaran, terutama dengan laporan-laporan yang belum dilaksanakan dan kekeliruan mengenai peruntukan yang perlu dipatuhi oleh majikan dan pekerja.

Beliau mengharapkan kementerian dapat menyediakan panduan yang jelas dan maklumat yang mudah diakses untuk memudahkan proses penyesuaian operasi majikan dan meningkatkan perkembangan ekonomi negara.

“Jadi kita harap bila kita setuju untuk meluluskan pindaan Rang undang-undang ini dan memang saya juga pernah terlibat dalam draf rang undang-undang pindaan di Sabah ini dan juga di Sarawak termasuk di Semenanjung pada satu ketika dahulu.

“Jadi kita berdepan dengan risiko kekeliruan khususnya bagi majikan dan pekerja yang mungkin tidak jelas tentang peruntukan mana yang perlu dipatuhi pada tarikh tertentu.

“Ini bukan sahaja mencabar dari segi pematuhan tetapi juga dari segi kos dan sumber yang diperlukan oleh majikan untuk menyesuaikan operasi mereka dengan perubahan-perubahan yang telah kita luluskan hari ini.

“(Ia) khususnya dalam menyediakan panduan yang jelas, maklumat yang mudah diakses dan masa mencukupi untuk disesuaikan dengan pindaan ini kepada pekerja-pekerja dan juga majikan.

“Tanpa pekerja tiada majikan. Tiada majikan, tiada pekerja. Itu dia punya tagline dia,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

Ulasan