RUU warga emas perlu disegerakan

RUU warga emas perlu disegerakan
Oleh Yulpisman Haji Asli
5 Oktober 2024, 7:07 am

BERIKUT contoh kes penganiayaan dan pengabaian warga emas:

Kes 1: Mayat seorang lelaki warga emas berusia 60-an ditemukan dalam keadaan cukup menghibakan apabila hanya tinggal tengkorak dan tulang di sebuah pangsapuri di Kepong, Kuala Lumpur pada 9 September lalu.

Mayat yang sudah mereput kira-kira empat tahun itu ditemukan anak lelakinya yang ke rumah berkenaan mencari bapanya yang tidak dapat dihubungi sejak 2020.

Kes 2: Seorang wanita warga emas berusia 69 tahun, ditemukan meninggal dunia di bilik utama rumahnya di Jalan Pulau Semut, Solok Duku, Masjid Tanah, 22 September lalu.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan ditemukan terbaring di lantai beralaskan bantal dan setengah badan ditutupi kain selimut selain turut ditemukan sebilah gunting.

Kes 3: Sepasang suami isteri di Arau, ditahan selepas disyaki mendera seorang wanita mualaf warga emas berusia 74 tahun sehingga meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, Jun lalu.

Kes 4: Polis menahan pemilik dan pembantu sebuah rumah kebajikan di Taman Desa Aman dekat Kulim, bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang penghuni lelaki warga emas berusia 70 tahun, dipukul dengan kayu.

Satu tinjauan oleh Agensi Polis Kebangsaan Jepun (NPA) menunjukkan, seramai 17,034 warga emas yang tinggal bersendirian telah meninggal dunia di rumah di seluruh negara itu dari Januari hingga Mac, menurut laporan Xinhua.

Di Malaysia pula, akhbar melaporkan, laporan terbaharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan peningkatan 20 peratus kes penderaan dan pengabaian ibu bapa oleh ahli keluarga sendiri.

Kajian menunjukkan satu daripada 100 warga emas di Malaysia pernah ditipu soal kewangan. Yang menyedihkan, penipuan turut dilakukan oleh waris, ahli keluarga atau membabitkan sindiket.

Laporan di atas hanya sebahagian kecil kes membabitkan penganiayaan dan pengabaikan membabitkan warga emas. Hakikatnya, banyak lagi kes tidak didedahkan.

Kemodenan zaman telah merubah tahap dan cara penghormatan serta penghargaan anak-anak terhadap ibu bapa mereka.

Justeru, laporan Utusan Malaysia mengenai usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) bagi melin­dungi warga emas sangat dialu-alukan. Pembentangan dan pelaksanaan RUU itu perlu disegerakan dan mendapat sokongan semua.

Ia mengambil kira kedudukan Malaysia yang bakal mencapai status negara tua pada 2030, kurang enam tahun dari sekarang.

Malah laporan terbaharu Jabatan Perangkaan menyatakan, bayi yang lahir pada 2024, secara purata dijangka hidup sehingga 75.2 tahun, dengan bayi perempuan hidup 4.8 tahun lebih lama.

Justeru, undang-undang khusus melindungi kebajikan golongan ini wajar diwujudkan. Ia mesti mencakupi semua aspek, hal ehwal kebajikan, kewangan, kesihatan, kediaman, infrastruktur dan lain-lain.

Individu yang cukup berjasa, melahirkan pemimpin, hakim, guru, teknokrat, jutawan malah bilionair perlu dilin­dungi. Islam meletakkan mereka pada kedudukan tinggi dan perlu ditaati selagi ia tidak membawa kepada kemurkaan Allah. Anak-anak dilarang menyakiti hatta berkata ‘ah’ kepada keduanya. Mereka bukan liabiliti, sebaliknya ‘aset akhirat’ buat anak-anak.

Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan