Sedia hadapi krisis kesihatan pada masa depan



Sedia hadapi krisis kesihatan pada masa depan
October 14, 2024


KUALA LUMPUR: Pindaan Akta 342 iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 menjadi fokus perbincangan terutama selepas berlakunya wabak Covid-19 pada 2020.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), berkata pindaan itu bertujuan bagi memperkukuhkan kawalan kesihatan awam selepas rakyat berdepan dengan pandemik yang belum pernah dialami oleh negara.

“Secara amnya Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan pada mesyuarat kali ini adalah sama dengan usaha yang dibuat oleh kerajaan sebelumnya pada 2021, di mana ketika itu pembangkang menentang usaha yang dibuat kerajaan terdahulu.

“Kini mereka ada di kabinet, maka kita boleh rujuk semula pada kenyataan yang telah dibuat di mana kerajaan dahulu mengawal pencegahan wabak penyakit ini,” katanya dalam perbahasan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS, berkata beliau turut melihat bahawa akta itu merupakan suatu langkah penting bagi memastikan kerajaan lebih bersedia dalam menghadapi sebarang krisis kesihatan pada masa depan.

“Oleh kerana undang-undang yang sedia ada yang digubal pada 1988 mungkin tidak sesuai dengan suasana yang berlaku pada waktu ini terutama dengan wabak yang lebih kompleks dan melibatkan pelbagai sektor,” katanya.

Beliau membangkitkan bahawa pindaan Seksyen 2 dalam akta itu turut menggantikan perkataan had lapangan terbang dan pelabuhan dengan, perkataan had lapangan terbang pelabuhan dan sempadan darat.

Beliau berkata, penambahan dan perluasan wilayah ini tentulah melibatkan peningkatan tenaga kerja.

“Saya melihat banyak pintu masuk ke negara kita termasuklah Bukit Kayu Hitam, Rantau Panjang dan Johor Bahru. Hal ini akan membuatkan penambahan kakitangan dan fasiliti.

“Adakah kerajaan bersedia untuk turut sama bukan meminda sahaja tapi menambahkan kakitangan supaya penambahan ini selaras dengan bilangan kakitangan yang akan menjalankan tugas dan fungsi nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

Ulasan