Senaraikan produk kena cukai gula


Senaraikan produk kena cukai gula
PENYENARAIAN produk yang dikenakan kenaikan duti eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula perlu dikeluarkan segera bagi mengelakkan kekeliruan dan kenaikan harga jualan.
Oleh FITRI NIZAM
22 Oktober 2024, 7:01 am

PETALING JAYA: Senarai produk yang dikenakan kenaikan duti eksais 40 sen seliter perlu dikeluarkan segera kerana masih ramai yang tidak jelas mengenai­nya dan untuk mengelakkan golongan peniaga menaikkan harga jualan.

Ketika ini, banyak pihak keliru terutama golongan peniaga dengan kenaikan duti eksais tersebut seperti diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 yang dikhuatiri akhirnya menyebabkan peningkatan harga barang di pasaran.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, pihaknya sendiri tidak jelas dengan pengumuman kenaikan duti eksais tersebut.

Kata beliau, berdasarkan kefahaman pihaknya, ia membabitkan produk gula susulan pengumuman Perdana Menteri berkaitan perang terhadap gula.

“Kerajaan perlu jelaskan sebaik mungkin kepada rakyat berhubung pengumuman tersebut kerana kita tidak mahu peniaga menaikkan harga jualan sedangkan mereka tidak terkesan pun dengan duti eksais berkenaan.

“Pada masa sama, peniaga juga perlu ambil tahu berhubung perkara ini supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kerajaan dalam pembetangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu mengumumkan perang terhadap gula dengan menaik­kan kadar duti eksais bagi minu­man bergula secara berfasa mu­lai 1 Januari tahun depan.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, kadar yang dikenakan adalah 40 sen seliter sebagai usaha selepas penduduk Malaysia menjadi antara paling obes di rantau Asia Tenggara dan gula adalah salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit.

Kadar duti eksais 40 sen seliter dikenakan ke atas minuman bergula mengikut nilai ambang kandungan gula bermula 1 Julai 2019, namun dinaikkan kepada 50 sen seliter mulai 1 Januari 2023 membabitkan jenis minuman tertentu.

Antara kenaikan duti eksais tersebut melibatkan jenis minuman seperti air minuman termasuk karbonat yang mengandungi gula tambahan, minuman berperisa susu yang mengandungi laktosa dan jus buah serta sayur sama ada mengandungi gula tambahan atau tidak.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kenaikan duti eksais gula tersebut tidak membabitkan gula pasir yang digunakan keseluruhan rakyat dan peniaga.

Nur Asyikin berkata, kerajaan perlu mengadakan libat urus dengan golongan peniaga sebelum 1 Januari 2025 supaya golongan tersebut faham bahawa mereka tidak terkesan dengan kenaikan cukai berkenaan.

“Adalah lebih baik kerajaan keluarkan senarai jenis produk yang terbabit dalam kenaikan duti eksais berkenaan.

“Ia bukan sahaja memudahkan peniaga malah pengguna juga boleh membantu melaporkan sebarang tindakan tidak bertanggungjawab jika berlaku kenaikan harga barang berdasarkan senarai dikongsikan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan