Strategi basmi kemiskinan perlu ambil kira tekanan hidup keluarga M40


Strategi basmi kemiskinan perlu ambil kira tekanan hidup keluarga M40
Oleh Dr Taha Mohd Omar - Oktober 11, 2024 @ 8:28am

Kerajaan perlu memastikan pendekatan lebih inklusif diambil, terutama bagi golongan M40 tinggal di bandar besar dan berhadapan dengan kos sara hidup tinggi. - foto hiasan NSTP

DALAM usaha Malaysia membasmi kemiskinan, kerajaan memperkenalkan beberapa strategi baharu dirangka untuk memberi tumpuan kepada golongan paling memerlukan. Fokus utama adalah kepada golongan B40, yang sering menghadapi kesukaran akibat ketidakseimbangan ekonomi ketara.

Langkah ini termasuk mengenal pasti kumpulan sasar yang layak menerima bantuan, menyelaraskan program di peringkat pusat, meningkatkan pembangunan infrastruktur luar bandar, memperbaiki pendidikan dan kemahiran serta bekerjasama dengan sektor awam dan swasta.

Strategi ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam komitmennya untuk membasmi kemiskinan secara menyeluruh dan sistematik.

Usaha ini sangat bertepatan dengan keadaan semasa yang mana golongan B40 sering menghadapi ketidakstabilan ekonomi serius. Menurut laporan Bank Dunia, jurang antara golongan kaya dan miskin di Malaysia semakin ketara, dengan B40 mewakili kira-kira 40 peratus daripada jumlah penduduk paling terkesan akibat ketidakseimbangan ini.

Golongan ini sering mengalami kesulitan dalam memenuhi keperluan asas seperti makanan, pendidikan dan perumahan. Oleh itu, langkah dirancang kerajaan amat penting dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan memperbaiki taraf hidup golongan terpinggir serta rentan.

Namun begitu, dalam usaha kerajaan mahu membasmi kemiskinan, terdapat kebimbangan golongan M40, terutama di kawasan bandar, mungkin kurang mendapat manfaat daripada dasar ini. Walaupun golongan M40 tidak berada dalam kategori berpendapatan rendah seperti B40, mereka juga berhadapan tekanan kewangan serius disebabkan kos hidup semakin meningkat di bandar besar.


Di Malaysia, golongan M40 merangkumi kira-kira 40 peratus daripada populasi dan statistik menunjukkan lebih daripada 30 peratus golongan ini hidup di bandar, berhadapan dengan cabaran kewangan ketara, menjadikan mereka 'miskin bandar' walaupun berada dalam kategori pendapatan sederhana.

Kos sara hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut Jabatan Perangkaan, perbelanjaan isi rumah di kawasan bandar lebih tinggi berbanding luar bandar, dengan perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan, dan penjagaan anak-anak menjadi komponen utama menekan kewangan keluarga M40.

Di sesetengah bandar, kos perumahan sahaja boleh mencapai 40 peratus daripada pendapatan bulanan keluarga M40. Ini bermakna, walaupun pendapatan mereka dikategorikan sebagai sederhana, mereka masih berhadapan tekanan ekonomi hampir sama dengan golongan B40 dalam memenuhi keperluan asas.

Akibat kos tinggi ini, ramai dalam kalangan M40 mengalami kesukaran menyimpan wang atau melabur dalam pendidikan serta perumahan lebih baik untuk keluarga mereka. Dalam konteks ini, tumpuan kerajaan terhadap B40 adalah penting, tetapi langkah yang lebih inklusif perlu diambil untuk memastikan M40 juga menerima sokongan secukupnya.

Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membabitkan golongan M40 dalam pelaksanaan strategi pembasmian kemiskinan. Salah satu langkah boleh diambil ialah memperluas kelayakan bantuan dengan mengambil kira kos sara hidup di bandar. Pendapatan dianggap mencukupi di luar bandar mungkin tidak mencukupi menampung kos kehidupan golongan M40 di bandar besar.

Sebagai contoh, satu kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menunjukkan golongan M40 di bandar besar memerlukan sekurang-kurangnya 20 peratus lebih banyak pendapatan berbanding di luar bandar untuk mengekalkan kualiti hidup sama. Oleh itu, subsidi tambahan atau insentif bagi pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan boleh membantu meringankan beban kewangan golongan M40.

Pada masa sama, skim perumahan mampu milik lebih menyeluruh untuk golongan M40 di bandar besar juga perlu diperkenalkan. Langkah ini bukan sahaja akan membantu mengurangkan kos sara hidup golongan M40, tetapi memberi mereka peluang menstabilkan ekonomi keluarga tanpa perlu bergantung pinjaman atau hutang tidak perlu.

Selain itu, kerajaan boleh memperkenalkan skim perumahan sewa-beli membolehkan golongan M40 memiliki rumah secara beransur-ansur dengan kadar faedah lebih rendah. Tambahan lagi, pendidikan dan latihan kemahiran perlu diperluas untuk golongan M40.

Walaupun penambahbaikan pendidikan adalah fokus utama untuk B40, golongan ini juga memerlukan sokongan untuk terus maju dalam ekonomi semakin kompetitif. Akses kepada pendidikan lebih mampu milik dan latihan vokasional relevan boleh meningkatkan kebolehpasaran dan mobiliti sosial mereka.

Sebagai contoh, kerajaan boleh memperkenalkan insentif pendidikan seperti pembiayaan khas atau pengecualian cukai untuk pendidikan tinggi anak-anak golongan M40. Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan peluang pendidikan bagi keluarga M40, tetapi membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

Sementara itu, kerjasama antara sektor awam dan swasta juga wajar difikirkan bagi membantu golongan M40. Sebagai contoh, sektor swasta boleh memainkan peranan lebih besar menyediakan peluang pekerjaan dan latihan vokasional berkaitan, selain menyokong program perumahan mampu milik.

Tanggungjawab sosial korporat (CSR) boleh diselaraskan untuk memastikan golongan M40 mendapat manfaat sama dalam usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan ekonomi. Beberapa syarikat besar di Malaysia mula melaksanakan program CSR menyokong golongan B40, dan konsep ini boleh diperluas untuk golongan M40 terjejas.

Apa yang penting, kerajaan perlu memastikan pendekatan lebih inklusif diambil, terutama bagi golongan M40 tinggal di bandar besar dan berhadapan dengan kos sara hidup tinggi.

Menerusi pendekatan benar-benar menyeluruh, pembasmian kemiskinan dapat dicapai dengan lebih berkesan, memastikan tiada golongan tercicir dalam usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan & Ekonomi, Universiti Putra Malaysia

Ulasan