Tentera rejim Israel gagal tembusi benteng pertahanan Hizbullah

Tentera rejim Israel gagal tembusi benteng pertahanan Hizbullah
October 14, 2024

Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Serangan dron berkumpulan oleh Hizbullah ke atas tentera rejim Israel telah mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya tujuh anggotanya dan mencederakan lebih 100 yang lain.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, serangan dron itu menyasarkan kem latihan Infantri Pertama Briged Golani, briged tentera elit rejim Israel di Binyamina, Utara Haifa.

“Bagaimanapun jumlah kematian dan cedera dipercayai lebih besar berikutan tentera Israel mengenakan sekatan ke atas maklumat ketenteraan.

“(Selain itu) Media negara haram Israel menyifatkan ia adalah tragedi terburuk sejak 7 Oktober tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, akhbar negara haram Israel, Maariv melaporkan peningkatan tiga kali ganda pendatang Yahudi meninggalkan Israel sejak awal tahun ini.

Tambahan pula, dilaporkan dalam tujuh bulan pertama, 40,000 pendatang telah keluar, dengan lebih sejuta lagi memohon pasport asing dan itu berlaku sebagai persediaan jika konflik ‘Taufan Al-Aqsa’ semakin buruk.

Dalam perkembangan lain, Khalil turut menyatakan bahawa tentera rejim Israel telah melancarkan serangan udara ke atas khemah penempatan sementara warga Palestin di Al-Aqsa Martyrs Hospital, Deir Al-Balah.

Akibatnya kata beliau, lebih 30 khemah terbakar, mengorbankan puluhan warga Palestin yang kebanyakannya terbakar hidup-hidup dan puluhan lagi dilaporkan cedera akibat serangan tersebut.

Beliau juga menjelaskan, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan seramai 2,306 warga Lubnan telah terkorban, manakala lebih 10,698 lagi dilaporkan cedera sejak bermulanya serangan ke atas Lubnan pada 8 Oktober tahun lalu.

“Sejak bermulanya serangan ganas tentera rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza sehingga ke hari ini, angka korban warga Palestin terus meningkat kepada 42,227 orang dengan lebih kurang 98,464 lagi dilaporkan cedera,” ujar beliau.

Selain itu, ADUN Batu Buruk itu berkata, Amerika Syarikat telah menghantar sistem pertahanan udara THAAD (Terminal High Altitude Area Defence) ke Israel untuk menangkis serangan peluru berpandu balistik.

Tambah beliau, lebih 100 anggota tentera Amerika Syarikat turut ditugaskan mengoperasikan sistem itu.

“Langkah itu adalah sebagai persediaan menghadapi serangan balas Iran jika tentera rejim Israel menyerang Iran,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan bahawa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menggesa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengundurkan tentera pengaman UNIFIL dari Selatan Lubnan bagi memudahkan serangan ke atas Hizbullah.

Bagaimana pun kelmarin, ujar beliau, tentera rejim Israel menerima kecaman dunia kerana menyerang kedudukan UNIFIL di pos kawalan mereka di Selatan Lubnan, yang mengakibatkan beberapa anggota UNIFIL dilaporkan cedera.

“Semalam, lebih kurang lima orang tentera rejim Israel mati dengan lebih 30 yang lain dilaporkan cedera apabila berhadapan dengan tentera Hizbullah di Selatan Lubnan.

“Sehingga ke hari ini, tentera rejim Israel tidak mampu menembusi benteng pertahanan Hizbullah di Selatan Lubnan dan hanya mampu menyebarkan propaganda palsu yang mereka telah mara di Selatan Lubnan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

share & sebarkan:

Ulasan