Tidak duduk diam, hari-hari tangani hal ehwal banjir
October 10, 2024
BALING: Exco Kerajaan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria yang rutin tugasnya sibuk urusan kerajaan, namun tidak membataskannya turun padang mengurus hal ehwal mangsa banjir di kawasan beliau.
Bukan itu sahaja, malah ADUN Kuala Ketil itu juga turut menziarahi mangsa banjir serta membantu sebahagian daripada mereka pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan.
Seawal 1 Oktober lalu, banjir yang sebelum ini melanda di beberapa daerah di sebahagian besar utara Kedah, mula ‘menerjah’ ke Daerah Baling, apabila berlaku hujan lebat sejak minggu ini.
Selain meninjau persediaan PPS di Sekolah Menengah (SM) Parit Panjang, beliau juga bersama-sama membantu sembilan keluarga dari Kampung Charok Bakap dipindahkan ke PPS tersebut.
Sementara di kampung atau tempat di mana mangsa banjir tidak dipindahkan ke PPS, Mansor menyampaikan sumbangan segera berupa pek makanan dan barangan keperluan harian, meringankan bebanan mereka.
Bukan sahaja memberi tumpuan kepada mangsa-mangsa banjir, Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu juga, meninjau kerja-kerja membaiki tebing Sungai Sedim.
Kerja-kerja membaiki tebing sungai tersebut yang terjejas serta runtuh akibat hujan lebat dan air deras juga sebagai salah usaha mengurangkan risiko berlaku limpahan air ke kampung berdekatan.
Dalam pada itu, beliau juga turut memberi perhatian kepada pembaikan tebing sungai di Kampung Permatang Durian yang sebahagiannya runtuh dan terhakis.
Dalam perkembangan lain, Mansor juga berpuas hati apabila kerja-kerja menurap jalan mini tar di Kampung Jelutung berjalan dengan lancar dan hampir siap
Dengan siapnya mini tar berkenaan, maka berakhirlah penantian penduduk kampung tersebut sejak 50 tahun lalu yang inginkan jalan yang baik serta selesa di kampung mereka. – HARAKAHDAILY 10/10/2024
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan