Tukar mayat Yahya Sinwar dengan tebusan - Israel




Tukar mayat Yahya Sinwar dengan tebusan - Israel
Oktober 19, 2024 @ 11:37am
Papan tanda memaparkan gambar pemimpin Hamas yang dibunuh Israel, Yahya Sinwar, dengan slogan ‘Kehilangan Yahya di medan perang akan digantikan seribu lagi Yahya’, ketika perhimpunan di wilayah dikuasai houthi di Sanaa, Yaman. - Foto AFP


TEL AVIV: Sumber Israel berkata jasad pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, mungkin digunakan sebagai 'alat tawar-menawar' untuk pertukaran bagi membebaskan tebusan Israel yang ditahan di Gaza, menurut laporan CNN.

Menurut laporan yang memetik media tempatan Israel itu, jasad Yahya yang dibunuh oleh rejim Zionis pada Rabu lalu kini disimpan di sebuah lokasi rahsia Israel di selatan Gaza.

Sumber CNN berkata, keutamaan Israel kemungkinan adalah memastikan pembebasan tebusan dalam menentukan cara memanfaatkan jasad tokoh yang dituduh oleh Israel sebagai dalang serangan pengganas pada 7 Oktober tahun lalu.

Lebih 100 tebusan Israel diculik semasa serangan yang diketuai Hamas masih berada dalam tahanan di Gaza.

"Jika Hamas mahu menukar jasadnya dengan warga Israel, sama ada yang hidup atau mati, itu tidak mengapa," menurut sumber diplomatik Israel.

Kedua-dua sumber bersetuju bahawa mayat Yahya boleh dianggap sebagai 'alat tawar-menawar'.

Pertukaran untuk tahanan mungkin satu-satunya cara jasad Yahya dikembalikan ke Gaza, kata sumber Israel.

"Jika tidak, penyerahannya tidak akan berlaku," tambah sumber itu.

Menurut sumber diplomatik, mengembalikan jasad Yahya ke Gaza dalam apa sahaja keadaan berisiko membangkitkan sokongan kepada Hamas.

Sekiranya Yahya dikebumikan di Gaza, tapak itu mungkin menjadi tempat suci bagi penyokongnya, ramal sumber tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Isaac Herzog mengadakan mesyuarat keselamatan pada Jumaat mengenai 'peluang besar' susulan pembunuhan Yahya untuk pembebasan tahanan, menurut kenyataan pejabat Herzog.

Dalam kenyataan pada Khamis, Netanyahu menyeru anggota Hamas yang masih menawan tahanan Israel supaya meletakkan senjata dan membebaskan mereka dengan mendakwa, sesiapa yang berbuat demikian akan dibenarkan untuk 'bebas meneruskan kehidupan'. - AGENSI

Ulasan