Wanita lebih berisiko sakit belakang?





Wanita lebih berisiko sakit belakang?
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
22 Oktober 2024, 7:45 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp


PERSEKITARAN kerja yang tidak sihat seperti peralatan dan perabot tempat kerja yang tidak menyokong tulang belakang atau ergonomik menjadi antara penyumbang sakit belakang.

Lembaga Pengarah Persekutuan Kiropraktik Sedunia, Wong Yi Kai, berkata sekiranya situasi itu dibiarkan berlarutan, ia menyebabkan ketegangan bahagian belakang termasuk bahagian leher dan bahu.

Ketidakselesaan itu mendorong sakit belakang kronik hingga menjejaskan gaya hidup individu.

“Mengabaikan kesihatan tulang belakang dan muskuloskeletal secara keseluruhan menjejaskan kualiti hidup individu termasuklah mengalami kesakitan kronik, ketidakseimbangan otot dan gangguan muskuloskeletal,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Sakit belakang masalah kedua tertinggi dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan paling kerap dilaporkan di seluruh dunia.

Begitupun kesedaran mengenai amalan ergonomik semakin meningkat dalam kalangan majikan Malaysia menjadikan ruang untuk penambahbaikan itu terbuka luas.


Yi Kai berkata, menangani masalah kesihatan tulang belakang boleh dilakukan melalui ergonomik yang betul, kerap melakukan aktiviti fizikal dan menjalani gaya hidup sihat.

Ujarnya, tulang belakang dapat dielakkan dengan mencipta ruang kerja selamat, selesa dan efisyen dengan menyesuaikannya mengikut kemampuan dan keselesaan tubuh.

“Perabot ergonomik, seperti kerusi dengan sokongan lumbar dan meja yang boleh dilaraskan ketinggiannya, serta pergerakan dan senaman regangan yang kerap, boleh membantu mengurangkan risiko sakit belakang.

“Begitupun, perabot pejabat hanya salah satu faktor. Elemen lain, seperti duduk terlalu lama, kurang aktiviti fizikal dan keadaan kesihatan individu pun boleh menjadi antara salah satu faktor menyebabkan sakit belakang,” katanya.

Tegasnya, intervensi ergonomik digabungkan dengan aktiviti fizikal, mampu mengurangkan ketidakselesaan muskuloskeletal.

WANITA LEBIH RAMAI

Yi Kai yang juga Presiden Persatuan Kiropraktik Malaysia berkata, kalau dibandingkan antara jantina, wanita lebih ramai menderita sakit belakang yang antara lain berpunca daripada perubahan hormon, kehamilan dan perbezaan dalam struktur muskuloskeletal.

Fluktuasi hormon turut mempengaruhi tisu penghubung dan mungkin meningkatkan kecenderungan pada kesakitan muskuloskeletal.

“Begitupun, faktor berkaitan pekerjaan dan gaya hidup mungkin mempengaruhi prevalensi sakit belakang. Pekerjaan yang melibatkan kerja zikal berat, pergerakan berulang atau duduk lama turut meningkatkan risiko sakit belakang dalam kalangan pekerja tidak kiralah lelaki atau wanita,” katanya.

PERABOT SIHAT MAHAL

Mengulas mengenai perabot berkiatan ergonomik yang lebih mahal berbanding perabot biasa, Yi Kai mengakui dengan alasan setiap produk membabitkan kajian pembangunan sebelum dihasilkan.

“Penggunaan bahan berkualiti dan fungsi, serta ciri-ciri canggih seperti kebolehsuaian, dimasukkan untuk memenuhi keperluan pengguna.

“Walaupun pelaburan awal mungkin tinggi, tetapi perabot ergonomik direka untuk mengurangkan risiko kesihatan jangka panjang, seperti ketidakselesaan muskuloskeletal. Paling penting ia meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan keseluruhan individu.

“Sebenarnya melabur dalam perabot ergonomik boleh membawa kepada pengurangan kos penjagaan kesihatan, ketidakhadiran yang lebih rendah dan kualiti hidup pekerja yang lebih baik, menjadikannya pertimbangan yang berbaloi,” katanya.

PERABOT SALAH

Ketidakselesaan berulang di bahagian belakang, leher, bahu atau pergelangan tangan mungkin menunjukkan bahawa perabot kita gunakan sewaktu bekerja, tidak menyokong ergonomik dengan betul. Ia dibuktikan bila kita sering menukar posisi sewaktu berada di meja kerja.

Yi Kai berkata, mengurangkan ketegangan, individu boleh pertimbangkan untuk menilai susunan tempat kerja dan menambah perabot ergonomik jika perlu.

“Sakit belakang ini hasil gabungan pelbagai faktor seperti zikal, psikologi dan gaya hidup.

“Postur duduk tidak betul dan duduk terlalu lama penyumbang sakit belakang. Ia disokong dengan kajian yang mendedahkan tingkah laku sedentari dan postur duduk yang lemah dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk mengalami sakit belakang bawah,” katanya.

GRAVITI KOSONG

Salah satu terapi terbaik selepas seharian menguruskan keluarga, tentulah untuk menikmati urutan di bahagian tubuh yang ligat bekerja seperti di bahagian belakang.

Penat badan seharian hilang saat mencuba kerusi urut bergaya Zero Gravity Massage Recliner daripada Ergoworks.

Hanya duduk selama 15 hingga 30 minit atas kerusi ini, ia memberi kelegaan ketara selepas seharian bekerja.

Kerusi hangat tetapi selesa ini mengangkat konsep kerusi urut sifar graviti, selaras prinsip ergonomik.

Baring dan kita rasa seperti berada di atas awangan.

Memang benar, rekaannya meletakkan tubuh dalam posisi mengangkat kaki ke paras jantung atau sedikit di atasnya, meningkatkan kesihatan muskuloskeletal secara keseluruhan.

Pada kedudukan ini tubuh terasa bagaikan berada dalam keadaan pegun, bagaikan angkasawan semasa misi angkasa lepas.

Pada kedudukan itu, ia membantu mengagihkan berat badan sekata dan mengurangkan ketegangan pada bahagian belakang bawah.

Gabungan fungsi urut ke dalam kerusi rehat ini menggalakkan kelonggaran dan mengurangkan otot tegang Fungsi power nap dimiliki jadi kegemaran ramai kerana ia mengembalikan kesegaran selepas tidur sekejap sebelum bersolat Zohor.

Fungsi smart wake up pula membangunkan kita secara lembut sahaja.

Pengalaman duduk di kerusi ini tidak sama dengan kerusi urut konvension yang bergetar dan mencengkam bahagian tertentu tubuh.

Penggunaan dalam tempoh lama, berupaya meningkatkan peredaran darah yang menyumbang kepada kesejahteraan tubuh.

Rekaan menawan menjadikan ruangan rumah lebih bergaya. Pengiktirafan industri dengan anugerah Malaysia Good Design Award diterimanya, memperjelaskan keanggunan dimiliki.

Ulasan