10,000 penduduk dipindahkan akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki
Oleh Wartawan Luar Negara
4 November 2024, 5:30 pm
JAKARTA: Pasukan keselamatan mula menyediakan beberapa kem perlindungan sementara kepada lebih 10,295 mangsa yang terjejas akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-laki di Nusa Tenggara Timur.
Ketua Pusat Kawalan Operasi Badan Mitigasi Bencana Negara (BNPB), Bambang Surya Putra berkata, sebanyak 2,735 keluarga yang tinggal di puluhan kampung berhampiran terjejas akibat bencana itu.
Sementara itu, penduduk melaporkan 10 kematian akibat bencana itu dengan lapan daripadanya merupakan penduduk Mukim Wulanggitang.
“Seramai 168 anggota dikerahkan untuk membantu memindahkan mangsa letusan itu
“Polis Flores Timur turut terlibat secara aktif memindahkan penduduk dan membersihkan laluan di kampung terjejas termasuk Kampung Hokeng Jaya di Daerah Wulanggitang.
“Penduduk dari tujuh kampung sekitar iaitu Klatanlo, Dulipali, Nobo, Hokeng Jaya, Boru Kedang, Pululera, dan Nawakote terpaksa berpindah ke sempadan Mukim Sikka dan Mukim Titehena di Daerah Flores Timur,” tambahnya.
Akibat letusan itu, bahan panas termasuk batu panas dan abu gunung berapi terlontar sejauh enam kilometer, menyebabkan kerosakan dan kemalangan jiwa.
Gunung berapi aktif di pulau Flores, timur Indonesia itu dlaporkan meletus pada awal pagi tadi.
Fenomena itu meningkatkan amaran kepada tahap tertinggi, iaitu pada tahap keempat.
Menurut ketua kampung tempatan, Petrus Muda, mangsa terbunuh apabila rumah mereka runtuh akibat letusan itu.
“Enam mangsa dipercayai sekeluarga turut tertimbus di bawah runtuhan.
“Ramai penduduk kampung melarikan diri dalam keadaan panik,” katanya.-AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan