1.86 juta pekerja mahir rakyat Malaysia dijangka berhijrah


1.86 juta pekerja mahir rakyat Malaysia dijangka berhijrah
STEVEN Sim Chee Keong. - IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Oleh ARIF AIMAN ASROL dan AIMAN ALI
6 November 2024, 6:40 am

KUALA LUMPUR: Seramai 1.86 juta rakyat Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk perubatan dan teknikal dijangka berhijrah ke beberapa negara lain bagi mencari peluang lebih baik.

Data tersebut diperoleh menerusi laporan Laporan Migrasi Dunia 2022 oleh Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) yang menyatakan kadar purata migrasi global adalah 3.6 peratus dan Malaysia pula mencatatkan kadar migrasi 5.6 peratus.

Malah, berdasarkan berdasarkan data daripada TalentCorp dan Bank Dunia melalui kajian bertajuk Leveraging on Malaysian Diaspora: Malaysian Diaspora Heat Maps yang disiapkan pada April 2022, populasi diaspora Malaysia di empat negara utama dianggarkan seramai 281,429 orang.

Empat negara tersebut adalah Australia (138,363 orang), Amerika Syarikat (79,827 orang), United Kingdom (37,549 orang) dan Kanada (25,690 orang).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kementeriannya melalui ­TalentCorp sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menarik bakat tempatan yang berada di luar negara kembali ke negara ini terutamanya melalui platform MyHeart.

Kata beliau, salah satu program utama yang diadakan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) adalah Program Kepulangan Pakar (REP) yang sejak tahun 2011 hingga Jun lalu telah menerima sebanyak 11,124 permohonan dan berjaya membawa pulang 2,011 bakat ke tanah air.


Jelasnya, REP menawarkan pelbagai insentif seperti penge­cualian cukai pendapatan pada kadar 15 peratus, pengecualian cukai ke atas barangan peribadi, pengecualian duti eksais kenderaan sehingga RM100,000, serta kemudahan untuk memperoleh status pemastautin tetap (PR) bagi pasangan dan anak-anak.

“Selain itu, platform MyHeart juga menyediakan peluang pekerjaan yang menghubungkan diaspora Malaysia dengan syarikat-syarikat terkemuka seperti Petronas, Shell dan PwC.

“Tujuan utamanya adalah untuk memudahkan diaspora mencari peluang pekerjaan yang sesuai di Malaysia sebelum mereka pulang.

“Tambahan lagi, melalui acara MyHeart Career and Facilitation Fest (MyHeart CaFe), jaringan langsung diwujudkan antara diaspora dan majikan di Malaysia. Sejak tahun 2022, program ini telah menarik 1,499 diaspora dan menawarkan 1,981 peluang pekerjaan,” katanya menerusi jawapan bertulis bagi menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub).

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, inisiatif MyHeart Innovate turut menyokong diaspora yang berminat memulakan perniagaan dengan menyediakan bimbingan serta akses kepada dana.

“Kohort pertama yang terdiri daripada 10 usahawan luar negara telah menyertai program ini pada Ogos 2024.

“MyHeart juga menggalakkan kolaborasi pengetahuan antara diaspora dan institusi tempatan melalui program Kolaborasi MyHeart, khususnya dalam bidang penyelidikan serta pendidikan,” jelasnya.

Beliau berkata, untuk memperkukuhkan sokongan kepada pemohon REP, sesi jaringan REP diwujudkan bagi memudahkan mereka berhubung dengan syarikat seperti Shell, Maybank, dan Maxis bagi membuka pe­luang kerjasama projek atau penempatan pekerjaan.

“Selain itu, kementerian juga memberi perhatian kepada kemudahan pendidikan bagi anak-anak diaspora yang ingin kembali ke Malaysia dengan menyediakan maklumat tentang institusi pendidikan tempatan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan