Bahasa Melayu dihiruk-pirukkan oleh bahasa baharu
BAHASA Melayu sememangnya hidup, tetapi perkembangannya harus berdasarkan keperluan, relevansi, dan penerimaan masyarakat.
Oleh Surat Pembaca
18 November 2024, 9:00 am
BAHASA Melayu adalah bahasa yang indah, kaya dengan sejarah dan warisan. Ia mencerminkan identiti bangsa Malaysia, menghubungkan kita dengan akar budaya dan tamadun Nusantara.
Namun, apabila Menteri Pendidikan menggesa masyarakat untuk menerima perkataan baharu dengan alasan bahasa Melayu adalah bahasa hidup, (Living Language), persoalan yang timbul adalah, adakah kita benar-benar memelihara bahasa kita, atau sengaja menimbulkan kekeliruan yang tidak munasabah?
Maksud “bahasa hidup” ialah bahasa yang terus berkembang mengikut zaman. Namun, bukankah perkembangan itu seharusnya berlaku secara organik, tanpa paksaan?
Menteri mungkin berniat untuk memodenkan bahasa melalui pembaharuan kosa kata, tetapi terdapat jurang besar antara niat dan pelaksanaan.
Pada masa ini, generasi muda Malaysia sudah berdepan cabaran memartabatkan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing lain sering menjadi keutamaan kerana dianggap lebih penting dalam era globalisasi.
Menambahkan kekeliruan melalui kosa kata baharu yang janggal hanya menjauhkan lagi generasi muda daripada bahasa kebangsaan.
Daripada memperkenalkan perkataan baharu yang tidak diperlukan, usaha sepatutnya ditumpukan kepada memperkasakan pengajaran bahasa Melayu melalui pendekatan yang praktikal dan menarik.
Misalnya, memperkenalkan peribahasa, sajak, dan karya agung dalam pendidikan, atau mendorong penggunaan bahasa Melayu yang kreatif melalui media digital. Bahasa adalah alat komunikasi, bukan platform untuk mencipta kekeliruan.
Bahasa Melayu sememangnya hidup, tetapi perkembangannya harus berdasarkan keperluan, relevansi, dan penerimaan masyarakat.
Perubahan secara paksa bukan sahaja mencetuskan kekeliruan tetapi juga merendahkan keindahan dan kefungsian bahasa itu sendiri. Menteri Pendidikan harus mengambil pendekatan yang lebih pragmatik, mendengar pandangan pakar bahasa dan masyarakat, dan memastikan setiap pembaharuan dilakukan dengan teliti dan berasas.
Sebagai bangsa Malaysia, kita harus mempertahankan bahasa Melayu daripada dilihat sebagai bahan eksperimen. Bahasa kita bukanlah permainan linguistik untuk dipertaruhkan.
Ia adalah identiti, akar budaya, dan masa depan kita yang hanya dapat terus hidup jika ia difahami, dihargai, dan diterima secara semula jadi oleh setiap generasi.
Saya sememangnya bukan pakar bahasa, tetapi sering menimba ilmu dengan pembacaan dan seorang pengamal komunikasi yang berpengalaman. Dalam komunikasi, pendekatannya amat jelas: memastikan mesej difahami dan diterima oleh khalayak.
Memperkenalkan perkataan yang mengelirukan hanya untuk memenuhi kepuasan diri atau tujuan feel good adalah satu tindakan yang amat merugikan.
Bahasa Melayu sepatutnya menyatukan dan mendidik, bukan untuk memisahkan dan mengelirukan masyarakat. – UTUSAN
PROFESOR MOHD SAID BANI CHE MAT DIN
Pakar komunikasi dan pendukung tegar bahasa kebangsaan
Ulasan
Catat Ulasan