Barisan pemimpin Bersatu Negeri Sembilan kini lebih segar, agresif
Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
7 November 2024, 6:45 am
SEREMBAN: Keputusan pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya di peringkat bahagian baru-baru ini dilihat melengkapkan proses peralihan kepemimpinan lebih muda dan ‘segar’ yang sedang berlaku dalam parti itu di Negeri Sembilan.
Tujuh daripada lapan bahagian di negeri ini telah membuat pilihan dan menyaksikan masing-masing kini dipimpin oleh ketuanya yang berusia dalam kalangan 30-an sehingga 50-an.
Jelas daripada keputusan berkenaan juga, Bersatu Negeri Sembilan dilihat bersedia selepas ini untuk menjalankan gerak kerja lebih agresif untuk menguatkan parti dan juga Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
Idea-idea baharu menerusi pemimpin muda ini juga dijangka cuba menarik sokongan pengundi khususnya dalam kalangan pengundi muda pada pilihan raya umum akan datang selain memberikan saingan lebih hebat kepada lawan mereka kelak.
Perkara itu turut diakui oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker yang yakin parti itu kini di landasan betul untuk kukuh dalam persekitaran politik negeri.
Jelas beliau, kehadiran Badrul Hisham Shaharin, 46, atau lebih dikenali sebagai Chegubard yang sudah berada dalam gelanggang politik iaitu sebagai Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson yang baharu juga menambahkan kekuatan parti.
“Walaupun dalam kalangan kami dilihat masih muda, namun masing-masing juga sebenarnya cukup pengalaman seperti Chegubard yang dikenali mempunyai daya tahan dalam dunia politik yang saya akui ia dapat menguatkan Bersatu Negeri Sembilan.
“Paling penting sebenarnya, Bersatu Negeri Sembilan terus kukuh walaupun di tiga bahagian yang terdapatnya pertandingan, ia berlangsung sengit, namun di pihak yang tewas mereka kekal bersama parti dan ini sangat positif buat kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain Chegubard, pada pertandingan pemilihan Bersatu baru-baru ini menyaksikan Wan Nasry Ahmad, 47, menang jawatan Ketua Bersatu Bahagian Seremban manakala Mohd. Zuhaimi Md. Yusof, 58, menang kerusi Ketua Bahagian Bersatu Kuala Pilah.
Mohamad Hanifah yang kini berusia 44 tahun juga kekal sebagai Ketua Bahagian Bersatu Rasah selepas menang tanpa bertanding.
Bahagian Jelebu kini diketuai oleh anak kepada tokoh politik veteran, Danni Rais, 37; diikuti Bahagian Rembau diketuai Mohd. Nazree Mohd. Yunus, 41, manakala Mohd. Noraffendy Mohd. Salleh, 36, mengetuai Bersatu Bahagian Jempol. Kesemua mereka juga menang tanpa bertanding pada pemilihan tersebut.
Satu bahagian di negeri ini iaitu Bahagian Tampin yang tidak layak menjalankan pemilihan pula dijangka melakukan lantikan bagi jawatankuasa penaja bahagian yang akan dilaksanakan pada bulan hadapan.
Bersatu Negeri Sembilan kini memiliki dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Labu dan Gemas. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan