Berpolitik jangan sampai rugikan negara



Berpolitik jangan sampai rugikan negara
Oleh Aznan Bakar
17 November 2024, 6:30 am


Apabila pemimpin kita berada di pentas antarabangsa, mereka bukan bawa nama parti tetapi nama negara. Mereka mewakili Malaysia secara keseluruhan. Bukannya parti yang diketuai semasa menang pilihan raya.

Sebagai sebuah negara dagang yang kekuatan ekonominya bergantung kepada eksport dan import, hubungan antarabangsa sangat penting. Sama ada peringkat serantau seperti ASEAN mahupun peringkat global seperti PBB, APEC, GCC dan sebagainya. Ini semua rakan dagang yang perlu dijaga supaya produk kita dapat dijual kepada mereka.

Majoriti kita benci kepada Amerika Syarikat (AS) kerana sokongan membuta tulinya kepada Israel. Tetapi pada masa sama, AS adalah rakan dagang terbesar Malaysia.

Pada 2022, perdagangan dua hala Malaysia dan AS berjumlah RM267.58 bilion. AS juga rakan perdagangan dan destinasi eks­port ketiga terbesar Malaysia.

Apa berlaku kalau negara ini menghentikan hubungan perdagangan dengan kita kerana tidak ada hubungan baik? Ini kriteria yang perlu diutamakan apabila menjadi pemimpin negara.

Malaysia juga bukan negara pemodal. Modal kita kecil tidak cukup untuk memajukan negara dan menyediakan peluang pekerjaan. Jadi, kita perlukan modal luar termasuk dalam bentuk pelaburan terus asing (FDI). FDI adalah pemangkin utama yang mengubah pola ekonomi kita sejak 1980-an hingga. Dari FDI ini jutaan peluang kerja terhasil.


Bayangkan kalau FDI ini berhenti mengalir ke negara kita. Dari mana pula FDI ini datang? Sudah tentu majoritinya ada negara yang menyokong kewujudan Israel. AS, Jepun, Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan negara-negara Eropah adalah sumber utama FDI kita. Mereka ini adalah rakan akrab Israel. Itu pun ia tidak menghalang pemimpin kita untuk terus membela dan memperjuangkan Palestin.

Selepas era Tun Dr. Mahathir Mohamad, berapa kerat pe­mimpin kita yang berani berhadapan dengan media antarabangsa? Berapa kerat yang berani muncul di CNN, BBC, CNBC, Al Jazeera dan sebagainya bagi menyatakan pendirian Malaysia dalam isu antarabangsa terutama Palestin?

Tetapi disebabkan sikap suka borong, kita tidak boleh membezakan antara kepentingan negara dan kepentingan parti. Tidak boleh bezakan antara keutamaan kepada rakyat dan politik sempit.

Sebab itu, ada segelintir yang sanggup bersekongkol untuk merosakkan imej negara asalkan cita-cita politik sempit mereka tercapai.

Kumpulan tidak peduli sama ada ia akan menjejaskan hubu­ngan dagang negara atau aliran FDI. Pada mereka kena lakukan apa saja untuk burukkan imej lawan biarpun negara menjadi taruhan.

Jadi, pemimpin ibarat menjadi jurujual untuk menjual potensi negara kita. Jurujual tidak ada dapat jual barang jika duduk di rumah sahaja.

Pemimpin tidak ada dapat bawa masuk pelaburan, peluang pekerjaan, buka pasaran eksport dan sebagainya jika hanya duduk berdebat dengan pembangkang.

Itupun usaha ini akan menjadi sia-sia jika ada kuncu-kuncu politik yang memutarbelitkan fakta, memburuk-burukkan usaha hingga menjejas kepercaya negara dan pelabur luar kepada kita.

Sedangkan, kalau negara kita maju, ekonomi baik dan politik stabil, manfaatnya dinikmati semua. Bukan penyokong kerajaan sahaja.

Jadi, berpada-padalah dalam berpolitik. Jangan sampai me­rugikan negara tanah tumpah darah kita ini.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia – MINGGUAN

Ulasan