Bongkar kebenaran peristiwa sejarah dengan fakta
ASAS yang penting sebelum membuat pentafsiran ialah sumber. Justeru, pembuktian tidak seharusnya berasaskan pandangan peribadi sahaja.
Oleh Surat Pembaca
6 November 2024, 9:00 am
KEBELAKANGAN ini ramai ahli akademik menyampaikan pandangan yang menongkah arus perdana. Terdapat sebahagian masyarakat umum yang menyokong dan selebihnya memberikan reaksi sebagai ‘penyelewengan fakta’.
Dalam disiplin sejarah, fakta menjadi intipati penting. Daripada sumber itulah yang akan menjadi fakta. Sekiranya fakta tiada, maka seseorang pengkaji hanya bercakap kosong.
Perlu juga diberikan perhatian bahawa ahli akademik seharusnya bersifat kritis dalam membuat pentafsiran.
Pentafsiran yang dibuat oleh sejarawan adalah berbeza mengikut tahap keintelektualan yang dimiliki. Sudah semestinya disiplin ‘peminat dan pengkaji sejarah’ adalah berlainan dan mereka membuat pentafsiran meliputi pelbagai sudut. Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa asas yang penting sebelum membuat pentafsiran ialah sumber. Justeru, pembuktian tidak seharusnya berasaskan pandangan peribadi sahaja.
Kritikan terhadap sumber sejarah perlu dilakukan bagi memastikan kebenaran.
Perkembangan semasa dalam dunia akademik menyebabkan banyak rekod-rekod tempatan, kolonial dan naskhah-naskhah Melayu yang kaya dengan peradaban bangsa boleh diakses sama ada secara dalam talian atau bersemuka. Ini belum termasuk sumber lisan yang berwibawa.
Hal yang demikian perlu dilihat secara positif kerana akan membawa kepada penemuan baharu dan segar dalam sesuatu isu yang timbul.
Sejarah tidak mati apabila disampaikan dengan segala sifat manusiawinya. Justeru itu, merapu dan berbicara bagi mencetuskan kontroversi serta menyeleweng fakta perlu dielakkan.
Sampaikan ilmu secara hikmah sesuai dengan ketinggian nilai keintelektualan dan pandangan masyarakat. Tidak semua individu yang cakna dan mengetahui secara ilmiah mengenai sesuatu isu. Cerakinkan ilmu secara bijaksana dan tidak menyongsang batas keilmuan.
Harmonikan perbincangan sebelum disebarkan kepada khalayak bagi mengelakkan kekeliruan. Sejarawan perlu memiliki ikatan sentimental terhadap masyarakat agar fakta sejarah terus diperkasakan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA
DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)
Ulasan
Catat Ulasan