'Cari orang perlu subsidi, bukan buru orang tak perlu subsidi'
Oleh Suzalina Halid - November 4, 2024 @ 8:00am
Perbentangan Belanjawan 2025 tempoh hari mewujudkan polemik baharu berikutan wujudnya pengkelasan kumpulan pendapatan baharu iaitu T15 atau 'maha kaya' dalam usaha kerajaan melaksanakan subsidi bersasar petrol RON95 mulai tahun depan. Kerajaan juga belum memuktamadkan takrifan tepat bagi kumpulan T15. Ikuti pandangan berikut.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali
Soalan (S): Kerajaan masih mengkaji penentuan ciri-ciri individu termasuk dalam kategori T15. Apa pandangan Tan Sri?
Jawapan (J): Penggunaan atau pengkelasan T15 belum diputuskan lagi oleh kerajaan, maka kita tidak boleh menganggapnya ia sudah dimuktamadkan walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut melalui Belanjawan 2025
Perlu difahami, semua bentuk perlindungan diwujudkan kerajaan adalah di bawah perlindungan sosial, dibahagikan kepada tiga kategori utama antaranya bantuan sosial dan sosial insurans. Bantuan sosial membabitkan pemberian tunai, barangan dan subsidi namun apabila menyebut mengenai subsidi ia perlu lebih berhati-hati.
Sebelum ini, subsidi diberikan secara 'blanket' yang mana semua mendapat manfaat itu. Ia berbahaya kerana kita cuba mengawal harga dengan pemberian subsidi dengan menjadikannya lebih rendah daripada pasaran. Pemberian subsidi ini mengherot pasaran dan mewujudkan tingkah laku tidak produktif. Dalam aspek rasionalisasi subsidi, naratif perlu dibawa kerajaan adalah bukan sebab kerajaan tiada duit kerana ia memberi tanggapan apakah kalau kerajaan ada duit, aspek ini akan diubah? Pemberian subsidi menyebabkan bebanan kerajaan kira-kira RM80 bilion, dengan 60 peratus daripadanya adalah daripada bahan api dan petrol. Maka apabila kerajaan membelanjakan untuk subsidi, ia bererti peruntukan untuk perbelanjaan lain adalah berkurangan.
Justeru, naratif perlu dibawa kerajaan adalah sampai bila subsidi ini perlu diberi secara 'blanket' dan implikasinya ke atas ekonomi dan rakyat. Kerajaan perlu berhati-hati membuat klasifikasi dan penentu kumpulan pendapatan. Perlu ada keseimbangan daripada mencapai kaedah yang sempurna kerana dalam aspek ekonomi, tiada kaedah bersasar yang boleh sempurna. Ia perlu ada keanjalan dan keseimbangan. Kesempurnaan pelaksanaan menyebabkan kerumitan jadi rakyat perlu difahamkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar tidak perlu sempurna.
S: Apakah relevan pemberian subsidi bersasar dengan kaedah mengetepikan T15?
J: Saya bimbang kaedah mengenal pasti kumpulan T15 dalam pelaksanaan subsidi bersasar petrol tidak berupaya membawa kepada matlamat diharapkan kerajaan. Sebelum ini saya membangkitkan mengapa perlu 'buru' orang tidak patut dapat subsidi sedangkan sepatutnya kerajaan perlu mencari mereka sepatutnya dapat. Melalui kajian dalam pelaksanaan sebarang subsidi bersasar, ada dua bentuk ralat akan berlaku iaitu ralat kemasukan dan ralat penyisihan. Dalam hukuman, mana lebih baik? Sama ada bersalah tidak dihukum atau tidak bersalah dihukum? Sudah tentu bersalah tidak dihukum.
Begitu juga dalam aspek pemberian subsidi bersasar, mana lebih baik. Sudah tentu mereka tidak sepatutnya dapat subsidi namun terlepas daripada diberikan subsidi, daripada layak dapat subsidi tetapi tidak diberikan subsidi. Kemuncak pendapatan kumpulan di atas itu sangat kecil, mungkin antara RM20,000. Apa yang boleh diharapkan daripada sumbangan kepada kerajaan? Apa yang sepatutnya dirisaukan adalah golongan di bawah tidak dapat bantuan. Saya lebih cenderung supaya siapa yang sepatutnya dapat dengan menggali golongan di bawah daripada menumpukan golongan berada. Lebih baik dua-dua golongan dapat subsidi itu daripada kerajaan melakukan ralat penyisihan.
S: Apakah kaedah terbaik untuk pelaksanaan penyasaran subsidi petrol?
J: Dalam aspek pelaksanaan subsidi petrol ini, kaedah lebih kurang sama dengan diesel boleh dilaksanakan dengan melakukan pemindahan tunai. Dalam konteks bantuan tunai, Malaysia masih rendah berbanding negara lain. Sebenarnya pemberian subsidi bersasar tidak semestinya perlu 'menumpu' pada harga dan mustahil untuk kerajaan berupaya membantu semua golongan. Cara terbaik adalah membiarkan pasaran menentukan harga petrol dan kerajaan memberikan bantuan tunai secara bersasar terus kepada golongan layak berbanding membezakan harga kepada golongan layak memperoleh subsidi dan T15.
Malaysia perlu menyasarkan pasaran sihat dengan mengikut kuasa pasaran dan permintaan. Kalau harga 'pura-pura' kerana ditanggung kerajaan disebabkan subsidi, ia akan mencacatkan tingkah laku. Sanggupkah kita bermanja selamanya. Sekarang ini RM80 bilion dibelanjakan untuk subsidi hampir dengan penggajian penjawat awam dan perbelanjaan pembangunan.
S: Adakah pengenalan kategori T15 jadi penanda aras kita sudah capai negara berpendapatan tinggi?
J: Saya boleh memberi kredit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berani membawa agenda rasionalisasi subsidi ini walaupun ia umpama 'politik makan diri'. Sudah tiba masanya Malaysia membuat reformasi kepada beberapa struktural dalam aspek subsidi kerana kita bukan negara miskin. Malah selangkah lagi berpendapatan tinggi. Kalau kita menolak agenda ini, negara akan rugi.
S: Ada tanggapan melihat kerajaan seolah-olah memerangi golongan maha kaya dan T15?
J: Mengenali Perdana Menteri dari zaman muda, beliau sangat dikenali sebagai pejuang rakyat bawahan namun ia ditarifkan secara berbeza. Saya rasa ada naratif lebih baik. Dengan persekitaran politik berlaku hari ini, Perdana Menteri melihat ada orang tertentu sebelum ini pada pandangannya mengaut kekayaan secara berlebihan lalu terbawa-bawa istilah maha kaya. Kita mula menguar-uarkan B40, M40, T20 dan sejak beberapa tahun ia seolah-olah menjadi penanda aras mutlak untuk segala-galanya termasuk dalam pemberian subsidi bersasar. Namun tidak semua kaedah pemberian subsidi perlu melalui kaedah ini.
Kira-kira 85 peratus rakyat mendapat harga rendah dengan penyasaran subsidi namun menyebabkan kecacatan tingkah laku. Walaupun niat dasar itu baik namun jika salah cara dibuat kemungkinan berlaku kerugian kepada kerajaan. Bagi setiap bentuk bantuan diwujudkan, kerajaan kena tengok produknya. Adakah petrol itu sama dengan pendidikan dan kesihatan. Paling ideal adalah biarkan ia ditentukan pasaran dan dibantu secara terus. Pengenalan pendapatan perlu dilakukan semua oleh rakyat. Mereka perlu mengisytiharkan pendapatan secara telus. Kaedah penyasaran subsidi baik namun ia tidak boleh dilakukan secara sama, perlu disesuaikan dengan kaedah produk.
S: Apakah kaedah penyasaran subsidi paling sesuai untuk petrol RON95?
J: Di Malaysia, penggunaan kereta persendirian sering menjadi pilihan utama kerana masih kekurangan perkhidmatan pengangkutan awam. Jika perlu membuat perjalanan jauh, kita tiada pilihan melainkan perlu ada kereta. Apabila kos petrol murah disebabkan kerajaan berniat membantu rakyat, tetapi akhirnya ia mewujudkan keadaan tidak mampan, sekali gus membebankan kerajaan. Konsep subsidi bersasar perlu mudah dan ada kaedah kenal pasti golongan sasar. Dalam pemberian subsidi bersasar, tidak mungkin ia boleh dilaksanakan secara sempurna. Namun bagaimana ingin melaksanakan subsidi untuk petrol.
Pelaksanaan subsidi bersasar tidak perlu terlalu terperinci sehingga menyukarkan kerajaan dan orang ramai kerana setiap rakyat mempunyai keperluan berbeza. Ada individu mempunyai tiga anak dan ada orang mempunyai satu anak sahaja. Sepatutnya orang ada tiga anak mendapat lebih subsidi. Namun individu mempunyai seorang anak mempunyai tanggungan ibu bapa di kampung. Bagi memahami setiap keperluan rakyat ini, ia agak mustahil kerana pelaksanaan itu sangat rumit. Apa sahaja bentuk subsidi bersasar kerajaan fikirkan, pelaksanaannya tidak semestinya sempurna. Boleh buat secara bersegmen, namun tidak semestinya perlu terlalu terperinci.
Bagi petrol, pelaksanaan subsidi bersasar dengan tidak membabitkan golongan T15 menyebabkan perlu ada dua harga ditawarkan di stesen petrol. Bayangkan di pam minyak ada dua harga berbeza, ia menimbulkan kesukaran. Petrol digunakan setiap hari dan ia keperluan harian, yang mana pelaksanaan dua harga menimbulkan kerumitan dan dan ada ruang untuk penyalahgunaannya.
Ulasan
Catat Ulasan