EPIC jalin kerjasama dengan Brunei, hasil pendapatan tambahan
November 3, 2024


KUALA TERENGGANU: Jalinan kerjasama syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), bersama Brunei dalam bidang industri maritim dijangka akan menghasilkan sumber pendapatan tambahan untuk syarikat tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia adalah peluang pertama bagi EPIC untuk terlibat dalam aktiviti di luar negara.

“Kerjasama itu insya-Allah akan menghasilkan sumber pendapatan tambahan kepada EPIC. Sumber tambahan kepada EPIC bermakna syarikat itu akan mendapatkan hasil yang lebih.

“Bila hasil lebih tentulah ada program-program rakyat yang perlu dilakukan oleh EPIC untuk membantu supplement kepada apa yang dijalankan oleh kerajaan negeri dalam bentuk kebajikan dan apa jua perkara kepada rakyat.

“Secara tidak langsung ia akan membantu rakyat juga terutama rakyat negeri Terengganu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili berkata, majlis Menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd (Qaswa) membuka jalan kepada pembangunan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan kapal yang pertama di Brunei Darussalam.

Katanya, kerjasama itu merupakan peluang besar untuk EPIC Berhad memperluaskan kepakaran ke peringkat antarabangsa sejajar dengan strategi perniagaan syarikat.

Langkah itu juga berpotensi membawa impak positif kepada industri maritim di Malaysia dan Brunei serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini. – HARAKAHDAILY 3/11/2024

Ulasan