Fokus perkukuh PN, bukan polemik jawatan
November 24, 2024
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti dan membela nasib rakyat, bukan terlibat dalam polemik mengenai jawatan Perdana Menteri atau siapa yang mengetuai gabungan itu.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan bahawa perkara itu tidak pernah menjadi agenda dalam mesyuarat atau perbincangan pimpinan PN.
“Topik seperti ini tidak menjadi keutamaan dalam kalangan pimpinan untuk dibincangkan. Hal ini kerana kami percaya dan bertekad bahawa masa sekarang adalah masa memperkukuhkan parti, mendekati rakyat dan memperjuangkan nasib bagi membela rakyat.
“Rakyat semakin tertekan berada di bawah pemerintahan kerajaan yang tidak malu untuk memungkiri janji dan manifesto mereka. Rakyat terhimpit dengan isu kenaikan kos sara diri serta penarikan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa keutamaan PN ketika ini adalah untuk menambah sokongan rakyat melalui pembukaan lebih banyak cawangan, keahlian, dan program bersama rakyat.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengingatkan semua pihak agar tidak membuang masa dengan perkara yang tidak menjadi keutamaan, kerana isu polisi parti akan dibincangkan pada masa sesuai oleh pimpinan PN.
“Rakyat masih menaruh kepercayaan kepada kami untuk memimpin negara ini semula berdasarkan kepada rekod lampau kami sebagai kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Cheka itu juga memaklumkan bahawa PN kini memberi fokus kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Menurutnya, PN bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN tersebut.
“PAS sebagai salah satu komponen PN yakin dengan kepimpinan BERSATU yang baru selesai mengadakan pemilihannya.
“Saya pasti ia akan menyemarakkan semangat PN untuk terus fokus bagi merangka strategi yang berkesan untuk rakyat Sabah, yang telah memberi mandat dalam PRN yang lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan