‘Hampir 40 kali berdepan situasi banjir’


‘Hampir 40 kali berdepan situasi banjir’
MARIAM Jusuh akan menyelamatkan mesin mengadun doh kuihnya terlebih dahulu setiap kali rumahnya dinaiki air banjir di Kampung Belukar di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Oleh NORHAFIZAN ZULKIFLI
7 November 2024, 8:13 am

KUANTAN: Kedudukan rumah yang terletak berhampiran Sungai Belat menyebabkan seorang penduduk di Kampung Belukar di sini terpaksa menempuh pengalaman hampir 40 kali berdepan bencana banjir sepanjang hidupnya sejak 1969.

Penduduk Kampung Belukar, Mariam Jusuh, 55, berkata, banjir berlaku ekoran air pasang atau hujan lebat berterusan menyebabkan air Sungai Belat melimpah ke kediamannya yang terletak di kawasan rendah di situ.

“Pengalaman banjir paling buruk kira-kira 10 tahun lalu membuatkan saya lebih bersedia berhadapan dengan bencana itu setiap tahun.

“Pada 2013, air sangat tinggi sehinggakan rumah saya yang memang dibina lebih tinggi pun boleh ditenggelami air sehingga paras dada saya pada ketika itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mariam berkata, setiap kali tiba musim tengkujuh, perkara pertama yang akan dibuatnya adalah menyelamatkan mesin mengadun membuat kuih sumbangan Pusat Zakat Pahang kerana ia mahal dan bukan mudah untuk diperolehi.

“Memang saya bersama dua anak dan tiga cucu yang tinggal bersama di rumah ini sentiasa bersedia berdepan dengan bencana banjir.

“Sebahagian besar barangan dalam rumah sudah saya letakkan ditempat yang tinggi. Apa yang penting adalah untuk sentiasa mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak pimpinan dan pengurusan bencana,” katanya.

Penduduk Kampung Razali, Hazlini Azhar, 48, pula berkata, antara persiapan banjir dilakukan termasuklah meletakkan barang berharga terutama barangan elektrik di tempat tinggi.

Katanya, pengalaman dilanda banjir hampir setiap tahun banyak memberi pengalaman buat dirinya yang merupakan pengidap sakit buah pinggang.

“Tahun ini saya sudah bersedia lebih awal yang mana kebanyakkan barangan sudah pun diletakkan di tempat yang tinggi.

“Cuma tinggal yang nak pakai harian sahaja seperti baju dan peti sejuk. Saya memang buat para tinggi sikitlah untuk letak barang. Selain tu, ada juga saya tindan kerusi untuk bagi tinggi supaya nanti boleh dijadikan tempat meletakkan barangan,” katanya.

Jelasnya, melakukan persiapan awal bagi menghadapi banjir membolehkan dia dan keluarga mengurangkan kadar kerugiaan dialami. – UTUSAN

Ulasan