Henti kenderaan NGV: Jangan buat keputusan mendadak




Henti kenderaan NGV: Jangan buat keputusan mendadak
SEORANG pelanggan menggunakan perkhidmatan teksi di Melaka Sentral, Peringgit, Melaka semalam.
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA dan MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
7 November 2024, 8:03 am

GEORGE TOWN: Keputusan Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk menghentikan operasi kenderaan berkuasa bahan api gas asli mampat (NGV) mulai 1 Julai 2025 disifatkan sebagai mendadak.

Pengerusi Gabungan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang, Mohamad Shahimi Hadzri berkata, sepatutnya, keputusan itu dibuat secara berfasa dan berperingkat mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, hal ini kerana, keputusan tersebut membebankan dan ‘kurang adil’ kepada pemilik atau pemandu teksi yang menggunakan tangki NGV untuk tempoh kurang daripada 15 tahun.

“Ada yang baru 11 tahun, 12 tahun (pasang NGV). Bagilah habis 15 tahun dulu (had penggunaan NGV) baru ‘stop’ (hentikan operasi NGV). Lagipun, kos nak pasang dan buka NGV itu bukannya murah. Bukan seratus dua. Cecah ribu juga. Kalau kos buka dan pasang kerajaan tanggung, tak apa.

“Mungkin benda-benda ini nampak kecil. Tapi, kesannya besar kepada kami, pemandu-pemandu teksi kerana ini sumber pendapatan utama kami. Jadi, cadangan saya ialah, biar pemilik kenderaan-kenderaan NGV ini terutamanya pemandu teksi habiskan tempoh 15 tahun itu dulu baru ‘stop’,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isnin lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengumumkan kenderaan NGV tidak akan lagi dibenarkan beroperasi di Malaysia mulai 1 Julai 2025, susulan keputusan Jemaah Menteri pada 2 Oktober lalu.

Kata beliau, langkah itu diambil atas dasar keselamatan setelah didapati bahawa sebahagian besar kenderaan NGV di negara ini berada dalam fasa akhir hayat tangki bahan api mereka.

Selain itu katanya, Petronas juga telah mula menamatkan bekalan runcit NGV di seluruh negara mulai 1 Oktober lalu secara berperingkat dengan penutupan penuh dijadualkan menjelang suku kedua 2025.

Bagaimanapun, kata Anthony, sebagai langkah sokongan, Petronas NGV Sdn. Bhd. (PNGV) akan menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV bagi pemilik yang terkesan.

Mengulas mengenai Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV itu pula, Mohamad Shahimi berkata, ia sepatutnya diberi lebih awal dan bukannya selepas operasi kenderaan NGV dihentikan di negara ini.

Jelasnya, ini kerana rata-rata pemandu teksi hanya bergantung kepada pendapatan yang diperoleh hasil daripada perkhidmatan teksi tersebut dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

Sementara itu Yang Dipertua Gabungan Persatuan Kereta Sewa dan Teksi Melaka, Zulkifli Baharom berkata, penggunaan semula petrol akan memberi kesan besar kepada pendapatan pemandu teksi.

Katanya, ini kerana kos bahan bakar dijangka meningkat sehingga dua kali ganda berbanding penggunaan gas asli.

“Sebelum ini saya gunakan teksi NGV dan pendapatan yang diraih agak besar kerana kos bahan bakar murah dan mampu memberikan lebih kilometer. Ambil trip jauh pun tidak menjadi masalah kerana dengan mengisi RM15 NGV sudah cukup untuk perjalanan dari Melaka Sentral ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Namun, setelah saya menukar NGV kepada petrol kerana masalah ketidaksesuaian enjin, saya dapati kos perjalanan meningkat dengan ketara sehingga dua kali ganda. Kos pergi ke KLIA kini mencecah sehingga RM60,” katanya. – UTUSAN

Ulasan