Hidup tak tenang, sudah 10 kali hadap banjir
ABDUL Muin Ahmad duduk di atas tangga loteng rumahnya memerhatikan anak-anaknya mencuci lumpur akibat banjir di halaman rumahnya di Kampung Bawah Gunung, Baling, Kedah.
Oleh NORLIA RAMLI
7 November 2024, 8:18 am
BALING: Sebuah keluarga di Kampung Bawah Gunung, di sini tidak dapat hidup tenang apabila rumah mereka sudah 10 kali dilanda banjir kilat pada tahun ini.
Menurut Abdul Muin Ahmad, 79, rumahnya kerap dinaiki air akibat limpahan Sungai Ketil yang terletak berhampiran.
“Rumah kami masuk lagi air kira-kira pukul 8 malam tadi dan surut sepenuhnya pada pukul 2 pagi tadi. Waktu itu hujan di kawasan ini tidak begitu lebat, namun lebat di Kampung Tanjung Pari dan Weng menyebabkan air sungai melimpah ke rumah saya sehingga paras lutut,” katanya di sini semalam.
Kata Abdul Muin, oleh sebab itu dia sekeluarga dalam keadaan berjaga-jaga kerana dijangka berlaku lagi hujan pada bulan ini.
“Tahun ini sejak September lalu sudah 10 kali rumah dimasuki air, memang penat nak cuci rumah. Kami mungkin hanya boleh rasa sedikit lega bila sampai penghujung Disember nanti,” ujarnya.
Jelasnya, semua perkakas rumah yang mudah rosak terutama barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh terpaksa diletakkan di tempat khas yang dibina lebih tinggi.
“Paling teruk, air banjir pernah naik sehingga hampir mencecah paras bumbung. Memang menakutkan dan kami perlu bersedia setiap kali berlaku hujan lebat. Kami pernah hadap lebih 20 kali kejadian banjir dalam tempoh setahun, paling sedikit adalah tiga kali setahun,” katanya.
Tambah Abdul Muin, sebuah loteng dibina tiga tahun lalu dengan ketinggian melepasi paras bumbung rumah.
“Kami akan naik selamatkan diri ke atas loteng jika banjir tidak melepasi paras pinggang. Jika banjir lebih buruk, saya sekeluarga akan berpindah keluar ke tempat lebih selamat,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan