Israel mahu kebebasan serang Lubnan selepas gencatan senjata
PASUKAN penyelamat memantau lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di perkampungan Baalshmay di pergunungan Lubnan, timur Beirut.- AFP
Oleh ATHIRAH HUDA ZALHE
14 November 2024, 9:33 pm
PARIS: Israel bertegas untuk mengekalkan keupayaan menyerang Lubnan pada bila-bila masa sebagai sebahagian daripada syarat untuk mencapai gencatan senjata dengan Hezbollah.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot berkata, syarat itu semakin banyak disuarakan dalam kalangan pegawai Israel.
“Hari ini, kita mendengar suara di Israel yang menuntut agar negara itu mengekalkan keupayaan untuk menyerang pada bila-bila masa atau bahkan memasuki Lubnan seperti yang dilakukan dengan jirannya, Syria.
“Itu tidak selaras dengan kedaulatan negara yang kuat,” katanya merujuk kepada usaha meluas untuk membantu mengukuhkan tadbir urus Lubnan.
Barrot berkata demikian semasa sesi pendengaran Parlimen selepas mengadakan rundingan dengan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer dan Menteri Pertahanan, Israel Katz di Baitulmuqaddis, minggu lalu.
Beberapa diplomat percaya sukar untuk Hezbollah atau Lubnan menerima cadangan gencatan senjata, termasuk permintaan Israel itu.
Sebelum ini, Katz yang baharu dilantik menggantikan Yoav Gallant menegaskan, Israel tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian tanpa merangkumi pencapaian objektif perangnya, termasuk hak untuk bertindak balas terhadap aktiviti pengganas.
Perancis, yang mempunyai hubungan sejarah dengan Lubnan, berusaha memainkan peranan dalam usaha mencapai gencatan senjata di negara Asia Barat itu.
Negara tersebut bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk cuba melaksanakan gencatan senjata sementara, namun perbincangan terhenti pada hujung September.
Penyelarasan antara Paris dan pentadbiran AS yang bakal tamat tempoh menjadi lebih rumit dengan utusan AS, Amos Hochstein, menumpukan perhatian pada cadangannya sendiri.
Barrot menyatakan adalah tidak masuk akal bagi Perancis untuk mengetuai inisiatif secara bersendirian mengenai Lubnan memandangkan ia memerlukan AS untuk meyakinkan Israel.
“Ia sama seperti Washington bertindak sendiri, kerana ia akan kurang memahami dinamik politik dalaman Lubnan, tidak seperti Perancis yang mempunyai hubungan sejarah dengan negara itu,” katanya.-REUTERS
Ulasan
Catat Ulasan