Jangan rosakkan martabat Old Money




Jangan rosakkan martabat Old Money
Oleh Adlinahani Binti Khalil
23 November 2024, 7:30 am

BARU-BARU ini, heboh satu Malaysia mengenai kewujudan satu komuniti anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Old Money’ atau bahasa mudahnya, golongan elit yang mewarisi kekayaan dari generasi ke generasi.

Dari segi penampilan, golongan Old Money ini sering mempamerkan gaya fesyen, pembawaan diri dan falsafah hidup yang menonjolkan ketenangan, kesederhanaan dan kemewahan yang tidak berlebihan. Gaya penampilan Old Money dikatakan dapat menyerlahkan aura dan kelas kekayaan secara ‘mahal dan eksklusif’ tanpa perlu usaha keras tunjuk kaya.

Kiranya, kalau pergi ke mana-mana, ada semacam aura orang boleh tahu seseorang individu itu adalah golongan kaya. Kumpulan yang diketuai seorang pempengaruh media sosial itu berjaya mencetuskan hype seluruh negara, tapi bukan kerana aspek positif, sebaliknya teruk dihentam pengguna media sosial yang kebanyakannya menyifatkan komuniti itu bukan Old Money, tetapi kumpulan perniagaan secara rangkaian (MLM).

Kebanyakannya mempersoalkan adakah kumpulan anak muda itu benar-benar mewarisi kekayaan dari keluarga mereka atau hanya mahu bergaya seperti golongan Old Mo­ney? Atau terma lain, New Money iaitu golongan lebih ber­orientasikan pencapaian peribadi dan kemewahan yang jelas kelihatan.

Ramai berpandangan kumpulan anak muda tersebut masih tidak jelas atau memahami secara tepat apa itu Old Money dan peranannya dalam masyarakat.

“Jika hanya mahu bergaya seperti Old Money, tidak me­ngapa, tapi janganlah berlebihan kerana konsep Old Money itu menyerlahkan kesederhanaan,” tulis seorang pengguna media sosial.

Satu lagi komen pula berbunyi ‘tidak kisah miskin atau kaya, jadi diri sendiri adalah lebih baik’.

Secara amnya, golongan Old Money dan New Money mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk ekonomi masyarakat. Namun, terdapat perbezaan antara Old Mo­ney dengan New Money.

Satu daripada satu ciri utama yang membezakan golo­ngan Old Money adalah etika mereka yang dijunjung tinggi. Mereka lebih mengutamakan kesederhanaan dan kemuliaan dalam setiap aspek kehidupan.

Dalam hal pelaburan, golongan Old Money cenderung le­bih konservatif dan melakukan pelaburan jangka panjang yang lebih stabil, seperti dalam hartanah, saham berkualiti serta pelaburan sosial yang memberi pulangan jangka panjang.

Golongan New Money pula adalah mereka yang mengumpul kekayaan sendiri dalam satu generasi. Walau bagaimanapun, kemunculan kumpulan anak muda itu tidak boleh dipandang negatif semata-mata, sekurang-kurangnya orang Malaysia tahu apa itu golongan Old Money dan New Money.

Cuma, mungkin cara penyampaian mereka kelihatan se­perti dibuat-dibuat, tidak nampak keasliannya, lebih-lebih lagi apabila ketua mereka mengajak sesiapa sahaja boleh menyertai kumpulan itu, sedangkan kalau Old Money yang sebenar, mereka ada golongan tersendiri.

Saya cuba lagi berfikiran positif, mungkin benar mereka anak orang kaya yang mewarisi harta berbilion ringgit, siapa tahu? Walau apa pun, jangan rendahkan martabat mana-mana golongan kerana setiap pencapaian yang dikecapi ada usaha dan penat lelah yang tiada siapa tahu.

Sama ada golongan Old Money atau New Money, semua­nya perlu ada usaha kerana rezeki dan kekayaan itu tidak datang bergolek. Anggap sahajalah kumpulan yang ditubuhkan oleh pempengaruh itu sebagai hiburan dan penghilang tekanan kerja.- UTUSAN

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Ulasan