Kawal sukan bermotor komuniti ikut piawaian keselamatan
November 4, 2024
Afnan Hamimi Taib Azamudden
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan berkaitan langkah pengawalan yang diambil bagi memastikan penganjur-penganjur sukan permotoran berskala kecil mematuhi keperluan keselamatan pertandingan.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, isu tersebut sering berlaku dalam kalangan penganjur-penganjur sukan tersebut yang dianjurkan pada peringkat komuniti.
“Penganjur-penganjur sukan bermotor ini, selain daripada syarikat ataupun pihak yang besar, ia juga dijadikan acara kecil-kecilan di peringkat komuniti.
“Ada penganjur-penganjur yang tak patuh penganjuran sukan ini, buat di tempat yang tak selamat. Tetapi itulah pilihan yang ada sebab ia diminati oleh ramai, macam bola sepak,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan pada sesi ‘Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, sukan bermotor pada waktu ini sudah dianggap sebagai sukan rakyat sama seperti sukan bola sepak di mana penganjurannya dilihat banyak dilakukan di mana-mana sama ada secara sah atau secara tidak sah.
Afnan dalam soalan asalnya meminta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian untuk mempromosikan sukan permotoran terutama dalam kalangan anak muda termasuk peruntukan dana untuk pembinaan litar permotoran di lokasi yang dikenal pasti.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, penganjuran sebarang pertandingan melibatkan permotoran harus melibatkan pihak persatuan seperti Motorsport Association Of Malaysia (MAM), Pesuruhjaya Sukan dan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut beliau, ia untuk memastikan apa-apa penganjuran menepati kriteria dan juga spesifikasi keselamatan yang ditetapkan dan untuk mendapatkan kebenaran yang meliputi aspek keselamatan.
“Kita terima sebelum ini banyak teguran ataupun banyak aduan di mana sedikit sukar untuk penganjur-penganjur kecil ni menepati aspek keselamatan jadi kita perlu lakukan lebih banyak ‘engagement’,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan