Keputusan kerajaan anugerahkan U Mobile sebagai pengendali 5G dipersoal
Diterbitkan: Nov 4, 2024 10:04 AM
Dikemaskini: 10:04 AM
Keputusan kerajaan minggu lalu untuk melantik U Mobile - syarikat yang berkaitan Yang di-Pertuan Agong - sebagai pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia mengundang penelitian.
Maxis - yang turut memohon menjadi pengendali 5G kedua - dalam satu kenyataan semalam berkata ia akan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengetahui sebab ia diluluskan.
"Kami akan berhubung dengan SKMM untuk memahami rasional keputusan mereka dan kami akan mempertimbangkan pilihan kami selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan," katanya,
FMT hari ini turut memetik pakar industri yang meminta kerajaan menyatakan sebab ia memilih U Mobile.
SKMM tidak menyatakan perincian apabila mengumumkan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua pada Jumaat lepas, selain daripada menyatakan ia telah menjalankan proses dengan teliti merangkumi perbincangan terperinci mengenai aspek teknikal dan komersial dalam membuat keputusan itu.
Ia juga berkata bahawa U Mobile boleh bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih lain dalam melancarkan rangkaiannya.
Menurut rekod syarikat yang ditarik hari ini, salah seorang pemegang saham syarikat telekomunikasi itu ialah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar - Yang di-Pertuan Agong sekarang.
Sultan Ibrahim ialah pemegang saham kedua terbesar syarikat itu dengan 22.3 peratus kepentingan.
Pemegang saham terbesar ialah Straits Mobile Investments Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dengan 48.3 peratus kepentingan.
Ahli perniagaan dan pengerusi U Mobile Vincent Tan tidak lagi mempunyai kepentingan langsung dalam syarikat itu mengikut rekod walaupun syarikat lain yang terikat dengannya mempunyai saham iaitu U Telemedia Sdn Bhd (7.3 peratus) dan Berjaya Infrastructure Sdn Bhd (2 peratus).
Ulasan
Catat Ulasan