Kerajaan bermasalah: ‘Kalau rakyat beri gred, saya yakin gred E’


Kerajaan bermasalah: ‘Kalau rakyat beri gred, saya yakin gred E’
November 20, 2024

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada hari ini menghadapi masalah bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara.

Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, kerajaan sering menyatakan bahawa harga barang tidak berubah tetapi realiti sebenar ialah sebaliknya.

“Ini kerana harga barang sebenarnya semakin meningkat dan diikuti dengan gaji minimum yang rakyat masih belum dapat lagi.

“Pelbagai masalah yang perlu dihadapi oleh kerajaan yang bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Yang hadir ialah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary; Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Menurut beliau, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini telah memberikan gred D kepada pihak kerajaan dalam menguruskan negara ini.

Tambah beliau, gred tersebut menunjukkan seolah-olah kerajaan masih boleh bernafas tetapi dalam keadaan yang tercedera.

“Maka, oleh sebab itu perlunya ada perubahan bagi merawat kecederaan tersebut yang mana ianya boleh dilakukan oleh rakyat Bumiputera negara ini yang merupakan 70 peratus penduduk negara ini.

“Kerajaan perlu membuat sesuatu bagi membaiki semula gred tersebut dan kalau rakyat yang memberi gred maka saya yakin ianya merupakan gred E,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr. Shahidan melabel kerajaan pada hari ini sebagai kerajaan yang benar-benar bermasalah.

Kata beliau lagi, mana-mana golongan politik yang berpengalaman banyak berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun begitu, kami mengambil pendekatan yang lebih bertolak ansur kerana menekankan perpaduan itu sendiri dalam isu sebegini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024

Ulasan