Kereta China – lima tahun pakai, buang!
KILANG yang banyak serta kos buruh yang kompetitif, memudahkan China menghasilkan produk berkualiti dengan skala yang tinggi.
Oleh HEZERI SAMSURI
18 November 2024, 6:21 am
BARU-BARU ini tular satu kenyataan di media sosial bahawa kenderaan sekarang direka untuk jangka hayat lima tahun dan selepas itu kenderaan itu lebih layak dibuang kerana tidak lagi optimal dari segi kos untuk dibaiki.
Kemudian ada pula yang berkata ini benar untuk kenderaan-kenderaan dari China sahaja kerana itu yang dipraktikkan di negara asalnya.
Isu ini ditambah lagi dengan suara-suara dalam kalangan penjual kenderaan yang memujuk bakal pembeli untuk tidak memikirkan lagi hal berkaitan nilai jual balik kenderaan kerana ia ‘tidak penting’ dan ‘tidak relevan’.
Mungkin kita boleh rungkaikan perkara ini satu persatu dengan melihat balik ‘standard practice’ atau amalan kebiasaan oleh industri automotif itu sendiri.
Syarikat kenderaan wajib sediakan alat ganti?
Syarikat kenderaan sebenarnya wajib untuk memastikan produk yang berada di bawah waranti boleh digunakan oleh pengguna. Tempoh baik pulih kenderaan yang rosak juga perlu diterima oleh akta kepenggunaan negara masing-masing (di Malaysia, akta ini tidak wujud secara spesifik).
Tidak ada undang-undang yang mewajibkan syarikat kenderaan untuk menyediakan bekalan alat ganti selepas tamat tempoh waranti tetapi kebanyakan pemain automotif akan cuba menurut standard yang diguna-pakai secara tidak rasmi oleh industri itu sendiri – memastikan bekalan alat ganti wujud untuk tempoh minima 10 tahun selepas model itu dilancarkan atau dua kitaran model kenderaan.
Kebanyakan syarikat automotif masih menurut standard itu kerana ia memastikan nilai jual balik produk mereka tinggi, cuma sekiranya model itu tidak popular, tidak ada jaminan standard itu akan dituruti kerana ia tidak akan menguntungkan pihak pengeluar komponen alat ganti.
Masalah dalaman dunia automotif China
Kepenggunaan automotif China memang berbeza dari kebanyakan negara-negara. China boleh dikatakan sebagai pemain baharu di dalam industri ini kerana negara itu hanya membenarkan rakyatnya memiliki kenderaan persendirian secara meluas mulai tahun 2000 bila ia dimasukkan ke dalam projek Perancangan Lima Tahun China yang ke-10.
Ini bermakna, Malaysia yang mempunyai syarikat-syarikat automotif sendiri jauh lebih berpengalaman dari China.
Namun begitu, kadar pembangunan ekonomi yang pesat dan gesaan dari kerajaan China sendiri yang mahukan industri automotif mereka lebih progresif secara global melihat kemajuan industri itu berkembang dengan pesat.
Daya saing antara syarikat automotif mereka juga adalah yang paling kronik dilihat oleh semua pemain industri itu, di mana ia mencetuskan ‘perang teknologi’ dan ‘perang harga’ yang melampau.
Namun begitu, menurut Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto,Tan Sri Yeoh Choon San yang bertanggung-jawab kepada jenama Mazda, Kia dan X-Peng di Malaysia, produk automotif China mempunyai kadar keterhubungan digital yang terlalu tinggi, hasil dari permintaan pasaran domestik di sana.
“Ini menyebabkan syarikat automotif mereka mempunyai kadar kebergantungan yang tinggi pada penghasilan cip-cip komputer, jauh lebih tinggi dari syarikat-syarikat automotif dari Eropah dan Jepun,” katanya.
Choon San berkata, syarikat-syarikat automotif pula bukanlah pelanggan paling penting di dalam ekosistem pembekalan cip komputer.
“Industri komputer, telefon pintar, permainan video dan gajet elektronik adalah pengguna nombor satu cip komputer dan tidak seperti automotif, kitaran model untuk peralatan itu jauh lebih kerap.
“Industri automotif akan menggantikan model sedia ada selepas lima tahun tetapi telefon pintar contohnya, setiap tahun akan ditukar kepada model terkini,” sambung beliau.
Dalam tahun 2023, sebanyak 1.17 billion telefon pintar dijual di seluruh dunia, jauh lebih rendah dari 75.3 juta kereta yang dijual dalam tahun yang sama.
Ini menyebabkan industri cip komputer tidak begitu berminat untuk menghasilkan atau menyimpan stok-stok cip dari generasi yang lama.
“Mahu atau tidak, syarikat automotif di China terpaksa menggantikan model-model yang ada kerana tidak ada bekalan cip yang diperlukan bagi kenderaan mereka,” katanya.
Masalah stok berlebihan
Pelanggan automotif sekarang mempunyai pilihan yang cukup banyak. Jika mereka perlu menunggu untuk produk yang dibeli sampai, mereka akan disuakan dengan produk-produk lain.
Masalah ini cukup dikenali oleh syarikat-syarikat automotif Jepun kerana sikap teliti mereka yang lebih mementingkan kualiti dari kuantiti.
Sayangnya, konsumer Gen Z mahukan produk yang dibeli sekarang, bukannya lagi dua tiga bulan.
Ini membuka peluang kepada pemain baharu untuk masuk dan menawarkan pelbagai pilihan pada harga yang lebih rendah dan stok yang tersedia.
Kewujudan kilang yang banyak, digandingkan dengan kos buruh yang kompetitif, menjadikan mudah untuk China menghasilkan produk berkualiti dengan skala yang tinggi. Kilang-kilang ini terpaksa beroperasi untuk memastikan pekerja-pekerja tidak dibuang, walaupun produk-produk yang dihasilkan tidak habis terjual.
Ini adalah punca kenapa wujudnya lambakan produk di China dan jika sesebuah negara tidak ada kawalan, mereka akan melambakkan produk mereka di pasaran lain.
Untuk menyelesaikan lambakan produk, potongan harga yang besar ditawarkan kepada pembeli dan akhirnya, pasaran itu akan musnah.
Sifat kompetitif yang melampau
Kompetitif ialah satu sifat yang diperlukan dalam perniagaan tetapi sikap kompetitif yang melampau akan merugikan.
Apa yang beraku di beberapa negara sekarang ialah syarikat-syarikat dari China cuba untuk bertanding pegangan pasaran yang lebih besar dan tekanan dari kepimpinan atasan syarikat memaksa bahagian penjualan menawarkan diskaun yang besar untuk menarik pembeli.
Akhirnya, pasaran itu akan runtuh kerana nilai jual balik yang sangat rendah dan mewujudkan terma ‘pakai buang’ kerana produk itu tidak lagi mempunyai nilai selepas dibeli.
Ini juga akan membunuh industri penghasilan alat ganti kerana kenderaan terpakai yang dibeli dengan harga yang terlalu rendah akan dipenuhi dengan pengguna yang hanya mementingkan harga murah berbanding kualiti produk itu sendiri.
Keempat-empat faktor ini adalah antara punca yang akan menyebabkan nilai jual balik kenderaan semakin rendah dan mewujudkan produk yang tidak tahan lama.
Namun begitu, syarikat-syarikat automotif legasi (berpengalaman) sudah arif akan fasa ini dan mereka mengambil sikap tunggu dan lihat kerana yakin kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk dan juga khidmat selepas jualan akan tetap memenangi hati pembeli.
Sukar untuk menghasilkan khidmat lepas jualan yang baik sekiranya tidak ada sokongan alat ganti yang stabil dan walaupun wujud waranti sehingga sejuta kilometer (km) atau lapan tahun, perundangan konsumer yang lemah tidak akan dapat membantu pengguna yang berdepan dengan masalah.
Ini ditambah pula dengan ‘keunikan’ Malaysia yang membenarkan pinjaman sewa beli sebanyak 90 peratus dari harga kenderaan, kadar faedah yang jauh lebih rendah dari kebanyakan negara lain serta tempoh pembayaran yang boleh mencapai sembilan tahun, antara yang paling lama di dunia.
Penulis beranggapan bahawa perlindungan terbaik ialah pembeli yang dilengkapi dengan informasi lengkap tentang industri automotif agar mereka mampu membuat pilihan yang bijak. Antara pembelian kerana tren semasa dengan pembelian yang berbaloi, kesemuanya terletak di tangan pengguna itu sendiri akhirnya.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan