Kes Daim tidak boleh diteruskan kerana bersifat eksklusif dan peribadi



Kes Daim tidak boleh diteruskan kerana bersifat eksklusif dan peribadi
YAACOB SAM
Oleh SUWARNI MOKHTAR
20 November 2024, 6:29 am

KUALA LUMPUR: Kes bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Daim Zainuddin yang didakwa gagal mengisytiharkan 71 aset miliknya tidak boleh boleh diteruskan kerana kes jenayah tersebut bersifat eksklusif dan peribadi.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam berkata, tiada siapa boleh menggantikan `tempat’ Daim dalam kes berkenaan.

“Kes arwah Tun Daim melibatkan isu ketidakpatuhan notis Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah (SPRM) yang dikeluarkan ke atasnya untuk isytihar semua harta. Jadi, arwah dituduh ke­rana gagal patuhi notis tersebut.

“Oleh kerana notis itu atas nama peribadi arwah Tun Daim dan tuduhan di mahkamah juga dibawa atas nama peribadi arwah, maka kes tersebut adalah bersifat ekslusif dan peri­badi. Apabila Tun sebagai Orang Kena Tuduh (OKT) meninggal maka kebiasaannya kes juga perlu digugurkan kerana kematian orang tertuduh.

“Pihak lain tidak boleh menggantikan tempat arwah. Jadi adalah wajar pihak pendakwa raya menarik balik pertuduhan ke atas arwah,” kata beliau yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang kini beramal sebagai seorang peguam.

Bekas hakim itu berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia berhubung kenyataan isteri Allahyarham Daim, Toh Puan Na’imah Khalid yang ingin meneruskan kes jenayah dikenakan terhadap suaminya itu.

Na’imah dalam kenyataannya semalam turut menyatakan tiada keperluan untuk Peguam Negara mahupun Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim.

Selain itu, Yaacob menyatakan, seseorang individu itu ha­nya boleh menggantikan tempat tertuduh sekiranya OKT telah disabitkan dengan kesalahan namun meninggal dunia sementara menunggu rayuan.

“Pihak waris mungkin ingin­ meneruskan rayuan untuk membersihkan nama tertuduh atau kerana terdapat isu lain seperti kehilangan hak mendapat pencen kerana ada sa­bitan jenayah. (Bagaimanapun) dalam kes arwah Tun, isu ini tidak timbul.

“Perlu dinyatakan bahawa kes terhadap arwah Tun juga bukan prosiding sitaan atau perlucutan hak harta . Isu ini berbeza dan belum sampai di pe­ringkat tersebut,” jelas Yaacob.

Pada 13 November lalu, Peguam Negara, Datuk Dusuki Mokhtar dilapor akan membuat keputusan berhubung status kes Daim atau nama penuhnya Che Abdul Daim Zainuddin selepas mendapat salinan sijil kematian veteran politik itu.

Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang juga mengetuai pasukan pendakwaan kes Daim turut dilaporkan akan mendapatkan arahan lanjut berhubung kes berkenaan daripada Peguam Negara.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Daim meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat strok di Hospital Assunta, Petaling Jaya dekat sini.

Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan gagal mematuhi notis de­ngan tidak mengisytiharkan 71 asetnya se­perti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM). – UTUSAN

Ulasan