Khidmat Malaysia bantu LKKSP lancar Rumah Budi 3.0


Khidmat Malaysia bantu LKKSP lancar Rumah Budi 3.0
November 11, 2024

ROMPIN: Rumah Budi 3.0 yang diusahakan Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSP) dengan kerjasama Khidmat Malaysia telah berjaya dirasmikan di Felda Keratong 1, Bandar Tun Razak, di sini petang semalam.


Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, majlis penyerahan kunci rumah tersebut telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abd Jabar.

Katanya, kesengsaraan rakyat yang tiada tempat berteduh akibat bencana ataupun rosak dimamah usia seharusnya dibantu dengan sebaiknya.

“Rumah Budi 3.0 bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah mengeratkan lagi hubungan antara PAS, masyarakat, dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Atas inisiatif itu, maka Khidmat Malaysia membuka tangan seluas-luasnya bagi menjayakan usaha yang sangat baik ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Khidmat Malaysia.

Beliau berkata, program ini turut dihadiri oleh Pengerusi LKKSP, Dr Rosni Adam dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu.

Serta hadir sama adalah ADN Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad dan Pengerusi LKKSP Negeri Pahang, Rohaya Razali.

Dato’ Ustaz Rosli dalam pada itu berkata, projek rakyat ini adalah satu usaha yang penting dalam meringankan beban asnaf untuk memiliki kediaman.

“Rumah Budi pertama di Pahang telah dimulakan di kawasan saya iaitu di Tanjung Lumpur dan ini adalah kesinambungan usaha-usaha PAS dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.

“Diharapkan agar program-program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai bukti komitmen bersama untuk menjaga kebajikan rakyat serta memberi impak positif kepada masyarakat yang memerlukan.

“Justeru, perhiasan yang terbaik bukanlah terletak pada perabot dan kelengkapan rumah, akan tetapi dilihat pada rumah yang dihiasi dengan alunan Zikir Memuji Allah.

“Dan ibadah tulus kepada Allah oleh para penghuninya,” ujarnya ketika hadir merasmikan dan majlis penyerahan kunci rumah kepada penghuni Projek Rumah Budi 3.0.

Pengerusi LKKSP, Dr Rosni Adam pula berkata, projek Rumah Budi 3.0 ini adalah salah satu inisiatif berterusan PAS untuk membina dan memperbaiki kediaman bagi rakyat yang terkesan akibat kesempitan hidup.

Menurut beliau, projek ketiga kali ini dilaksanakan dalam keterbatasan sumber, namun dengan sokongan penuh ahli PAS, orang-orang persendirian dan masyarakat setempat, sumbangan tersebut dapat disalurkan dengan berkesan. – HARAKAHDAILY 11/11/2024

Ulasan